lightning-solid
Berita :
Kerajaan Lantik JKR Terajui Projek Loji Air Marang RM500 Juta
Kerajaan Lantik JKR Terajui Projek Loji Air Marang RM500 Juta
Noraini Jusoh
11 Nov 25
426

KUALA TERENGGANU, 10 November – Usaha memperkukuh sistem bekalan air bersih di daerah Marang melangkah ke fasa lebih konkrit apabila Kerajaan Negeri melantik Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu sebagai Pegawai Penguasa Projek bagi pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Marang dan sistem agihan Fasa 1.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Dato' Hanafiah Mat berkata, pelantikan tersebut selaras keputusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 21 Mei lalu, melibatkan anggaran kos siling RM500 juta.

 “Pengarah JKR Negeri dilantik sebagai Pegawai Penguasa Projek dan seterusnya menubuhkan pasukan projek bekalan air. Pengarah JKR Negeri perlu mengemukakan cadangan struktur organisasi pasukan pengurusan projek kepada Kerajaan Negeri,” ujarnya. 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong pada Sidang DUN di Wisma Darul Iman.

Katanya,  Makmal Pengurusan Nilai (Value Management - VM)  akan memperincikan skop, komponen utama dan nilai perbelanjaan akan dilaksanakan dengan kendalian JKR.

“Selepas laporan VM dimuktamadkan, fasa reka bentuk dan tender dijangka bermula pertengahan 2026. Kerja fizikal tapak akan bermula suku keempat 2026 dengan tempoh pembinaan sekitar tiga tahun.

“Projek ini disasarkan siap sepenuhnya pada tahun 2029, tertakluk kelulusan akhir reka bentuk serta peruntukan kewangan,” ujarnya.


Artikel Berkaitan