Sidang Kemuncak Antarabangsa Terengganu Kecam Genosid di Palestin
KUALA TERENGGANU, 5 Ogos - Kerajaan negeri di bawah pimpinan PAS tetap teguh mendokong kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, susulan kemelut politik yang melanda ketika ini termasuk penarikan sokongan UMNO terhadap Perdana Menteri dan kerajaan Perikatan Nasional (PN), ia tidak menggugat kerajaan Terengganu.
Menurut beliau, walaupun ada segelintir pihak yang mendakwa mempunyai lebih sokongan untuk membentuk kerajaan, namun hakikatnya blok dipimpin Muhyiddin merupakan blok terbesar pada masa ini.
“Situasi ini macam pasaran saham, pukul 10 pagi ada nilaian tertentu dan 30 minit kemudian nilainya mungkin lain, jadi kita tunggu dan lihat dari semasa ke semasa perkembangannya.
“Bagaimanapun, blok yang dipimpin Perdana Menteri merupakan blok terbesar berbanding blok lain yang membuat pelbagai andaian bagi pihak lain,” ujarnya dalam hantaran di laman Facebook beliau, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, sekarang bukan masa yang sesuai untuk berpolitik, sebaliknya semua pihak perlu menggembleng tenaga dan bersama-sama menyelesaikan masalah rakyat yang terkesan dengan pandemik COVID-19.
“Saya tidak faham bagaimana ada pihak yang sanggup mengambil kesempatan daripada penderitaan rakyat dengan menambah lagi seksaan baru untuk kepentingan politik dan peribadi mereka hingga sanggup mengheret parti dan negara,” katanya.