Kerajaan Negeri Kukuhkan Hubungan Strategik Dengan Penjara Terengganu

KUALA TERENGGANU, 20 Januari - Kerajaan negeri mengorak langkah baru bagi mengukuhkan lagi hubungan strategik bersama pengurusan Penjara Negeri Terengganu baru-baru ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pertemuan bersama pihak pengurusan Penjara Negeri Terengganu itu diadakan bagi membuka ruang untuk memastikan keterjaminan kelangsungan hidup prospek (banduan).

“Dalam pertemuan ini, pelbagai isu penting telah dibincangkan, termasuk kerjasama strategik, inisiatif rehabilitasi, dan pembangunan modal insan.

“Khususnya bagi prospek dan bekas prospek, serta langkah-langkah memperkasa keselamatan dan pemulihan komuniti," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu hantaran akaun Facebook rasminya semalam.

Turut hadir Pengarah Penjara Negeri Terengganu, PKK Mohd Nasir Yusof, Ketua Institusi Penjara Negeri Terengganu dan pegawai-pegawai kanan Penjara Negeri Terengganu dalam kunjungan itu.

Mohd Nasir juga memaklumkan tentang kerjasama Penjara Negeri Terengganu dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) dalam pelaksanaan program iTEKAD kepada prospek yang akan dibebaskan kelak.

“Program ini, yang diperkenalkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dengan sokongan beberapa Institusi Kewangan Islam (IKI), bertujuan membangunkan usahawan mikro dalam kalangan asnaf dan B40. 

“Semoga usaha murni ini dipermudahkan," katanya.