Kerajaan Negeri Memperkasa Sukan Permotoran

KUALA TERENGGANU, 6 Januari – Kerajaan negeri memberi komitmen untuk memperkasakan pembangunan sukan permotoran di Terengganu, khususnya melalui Litar Permotoran Gong Badak di Kuala Nerus.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan & NGO Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata satu mesyuarat telah diadakan bagi membincangkan penyelarasan antara kerajaan negeri, agensi penguatkuasa, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan persatuan permotoran negeri.

"Ia berkaitan dengan sukan permotoran yang akan diadakan mengikut lunas undang-undang dan pertimbangan yang bersesuaian.

"Pihak kerajaan negeri akan terus memperkasa pembangunan sukan permotoran di negeri ini khususnya di Litar Permotoran Gong Badak, Kuala Nerus," katanya dalam satu hantaran rasmi akaun Facebooknya.

Turut hadir dalam mesyuarat tersebut Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu (JBSNT), Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Majlis Sukan Negeri Terengganu, Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT), dan persatuan sukan permotoran.

Justeru itu, beliau berharap belia-belia dapat menggunakan litar itu dengan sebaiknya dan meletakkan keselamatan sebagai perkara yang utama.