Berita :
Kerajaan Negeri Perkukuh Intervensi Susulan 296 Kes Keganasan Rumah Tangga
Kerajaan Negeri Perkukuh Intervensi Susulan 296 Kes Keganasan Rumah Tangga
Rohayati Ripin
1 jam yang lepas
57

KUALA TERENGGANU, 23 April – Kerajaan negeri terus memperhebat usaha menangani isu keganasan rumah tangga melalui pendekatan lebih menyeluruh melibatkan pendidikan, sokongan sosial dan pengukuhan institusi keluarga.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Negeri, Maliaman Kassim berkata, berdasarkan statistik tahun 2025, sebanyak 296 kes keganasan rumah tangga direkodkan di Terengganu, sekali gus menuntut perhatian serius serta tindakan bersepadu daripada semua pihak.

Menurut beliau, kerajaan negeri memandang penting usaha memperkukuh pengurusan emosi, komunikasi dalam keluarga serta menangani isu penyalahgunaan dadah secara bersepadu bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

"Antara faktor yang dikenal pasti menyumbang kepada kejadian tersebut ialah selisih faham yang mencatatkan 206 kes, selain pengaruh dadah sebanyak 67 kes.

"Berdasarkan data yang dibentangkan, kes berkenaan melibatkan semua daerah dengan Kuala Terengganu mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 92 kes, diikuti Besut sebanyak 61 kes dan Kemaman 53 kes.

"Majoriti mangsa terdiri daripada wanita seramai 196 orang berbanding 103 lelaki, manakala kumpulan umur paling terkesan ialah antara 26 hingga 45 tahun.

"Bagi suspek pula, majoritinya adalah lelaki dan tertumpu dalam lingkungan umur yang sama, menunjukkan keganasan ini banyak berlaku dalam kalangan individu yang berada dalam fasa aktif kehidupan berkeluarga," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada persidangan DUN Terengganu, semalam.

Dari segi hubungan, kes paling tinggi melibatkan suami dengan 98 kes, diikuti adik-beradik sebanyak 78 kes dan anak kandung 49 kes, yang menunjukkan keperluan memperkukuh lagi hubungan kekeluargaan serta sistem sokongan dalam rumah tangga.

Maliaman berkata, isu keganasan rumah tangga tidak boleh ditangani melalui penguatkuasaan semata-mata, sebaliknya perlu disokong dengan pendekatan holistik yang mampu membina keluarga lebih harmoni dan sejahtera.

Menurutnya, kerajaan negeri akan terus komited melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa diberi keutamaan.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan