Kerajaan Negeri Peruntuk RM20 Ribu, Selamatkan Kediaman Dari Hakisan Pantai

KUALA NERUS, 9 Disember - Kerajaan negeri  mengambil langkah segera dengan peruntukan RM20,000 bagi menyelamatkan sebuah rumah yang didiami sebuah keluarga serta sebuah surau berikutan hakisan berlaku di Pantai Kampung Pengkalan Maras, Batu Rakit.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata, usaha tersebut diambil kerana hakisan semakin dekat dan dikhuatiri mengundang risiko kejadian tidak diingini.

"Ini merupakan projek sementara bagi memastikan rumah serta sebuah surau ini dapat diselamatkan dengan kaedah meletakkan batu-batu besar supaya tanah itu tidak runtuh pada malam ini ataupun boleh bertahan selama beberapa hari sebelum diambil langkah seterusnya," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, selepas mengadakan lawatan di Pantai Maras Batu Rakit berkaitan hakisan pantai dan tambun batu, di sini, hari ini.

Terdahulu, pemilik rumah, Mazlan Abdullah, 56, berkata jarak hakisan dengan rumahnya kini hanya kira-kira dua meter menyebabkan dia bimbang kediaman yang dibina sejak 30 tahun lalu runtuh.

Dia yang juga merupakan pengusaha kedai makan berhampiran rumahnya berkata, dengan tindakan segera yang diambil oleh kerajaan memberikannya sedikit kelegaan.

"Timbunan batu ini sekurang-kurangnya mampu mengurangkan kelajuan ombak," ujarnya.