Kerajaan Negeri Sedia Pertimbang Kaedah 'Crasmet' Atasi Hakisan Pantai Penunjuk

KEMAMAN, 20 Januari - Kerajaan negeri mempertimbangkan kaedah terbaik dengan cara memasang 'crasmet' bernilai RM30 juta bagi mengatasi masalah hakisan yang berlaku di Pantai Penunjuk, Kijal yang merupakan salah satu produk pelancongan di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata kaedah pemasangan 'crasmet' itu akan menjadi 'pilot project' sekiranya ia berkesan mengelakkan hakisan yang serius dari berlaku.

Menurutnya, beliau bekerjasama erat dengan Pejabat Daerah Kemaman dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk membuat satu penilaian 'brick water' mana yang lebih sesuai bagi mengelakkan hakisan yang lebih teruk berlaku pada tahun-tahun mendatang.

"Jadi kita telah dapat salah satu cadangan dari Pejabat Daerah iaitu memasang 'crasmet'.

"Untuk menilai projek ini kita akan buat lawatan ke Pantai Bari sebagai rujukan kerana di sana kaedah ini telah digunakan sejak 15 tahun yang lalu dan masih kekal sampai ke hari ini.

 

Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas mengadakan lawatan kali kedua ke Pantai Penunjuk itu, di sini, semalam. 

Tambah Razali, sekiranya projek tersebut benar-benar berkesan, beliau akan mencadangkan kepada pihak Agensi Pengurusan Bencana Banjir (NADMA) dengan kos dijangka menelan lebih kurang RM30 juta dengan jarak sepanjang tiga kilometer (KM).