Jalur Gemilang
Berita :
Kerajaan Negeri  Sedia Terima Teguran, Perkemas Penganjuran Karnival Pantai
Kerajaan Negeri Sedia Terima Teguran, Perkemas Penganjuran Karnival Pantai
Muhammad Fakhruddin Bin Nordin
21 jam yang lepas
293

KEMAMAN, 23 September – Kerajaan negeri mengambil serius setiap teguran dan pandangan masyarakat berkaitan penganjuran program berteraskan warisan dan budaya, serta sentiasa bersedia melakukan penambahbaikan agar pelaksanaannya lebih selari dengan tuntutan agama, syariat Islam dan nilai masyarakat setempat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Dato' Razali Idris berkata, teguran yang diterima perlu dilihat secara positif sebagai ruang untuk memperkemas pendekatan sedia ada, termasuk dalam penganjuran Karnival Pantai.

Menurut beliau, perubahan daripada konsep ‘Main Pantai’ kepada Karnival Pantai merupakan antara langkah penambahbaikan bagi memastikan warisan yang baik terus dipelihara, manakala unsur yang tidak selari dengan akidah dan syariat ditinggalkan.



“Kita terima teguran dan pandangan yang diberikan. Apa yang baik daripada warisan kita, kita kekalkan dan kita terus lakukan penambahbaikan supaya penganjuran program lebih tersusun serta bersesuaian dengan tuntutan agama dan nilai masyarakat.”

Menurutnya, sebahagian amalan tradisi dahulu termasuk ritual menyemah pantai atau menjamu hantu laut, penyembelihan haiwan, menghanyutkan hidangan ke laut serta jampi dan pantang larang yang dikaitkan dengan kepercayaan mistik.

Tambah beliau, seiring perubahan kefahaman masyarakat, amalan berkenaan telah ditinggalkan dan digantikan dengan Karnival Pantai yang memberi tumpuan kepada aktiviti sukan, kekeluargaan, kebudayaan serta ekonomi setempat.

“Penganjuran karnival juga perlu mematuhi garis panduan ditetapkan, termasuk aspek hiburan, bagi memastikan keseluruhan program selari dengan syariat dan nilai masyarakat.

“Pada masa sama, Karnival Pantai terus diperkasakan sebagai platform mengekalkan warisan positif, memperkenalkan budaya tempatan serta memberi manfaat kepada komuniti dan pengusaha setempat,” ujarnya lagi.

Razali turut mengingatkan supaya nama dan konsep ‘Main Pantai’ tidak lagi dikembalikan, sebaliknya pendekatan baharu menerusi Karnival Pantai diteruskan secara lebih tersusun dan bersesuaian dengan tuntutan agama.

Kerajaan negeri akan terus melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa bagi memastikan warisan budaya terus dipelihara tanpa menghidupkan semula unsur yang bercanggah dengan akidah dan syariat.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan