Berita :
Kerajaan Negeri Terus Hulur Bantuan, Usahawan Tak Dibiarkan ‘Tenggelam’ Dalam Krisis
Kerajaan Negeri Terus Hulur Bantuan, Usahawan Tak Dibiarkan ‘Tenggelam’ Dalam Krisis
Mastura Jamal Din
7 jam yang lepas
94

KUALA TERENGGANU, 15 April  – Kerajaan negeri komited meneruskan bantuan kepada usahawan kecil dan sederhana melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) meskipun berdepan cabaran ekonomi semasa susulan konflik di Asia Barat.

Pengerusi Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, bantuan tersebut amat penting memandangkan ramai dalam kalangan peniaga kecil bergantung kepada kemudahan pinjaman bagi meneruskan kelangsungan perniagaan mereka.

“Walaupun keadaan ekonomi agak mencabar, kita tetap komited untuk meneruskan bantuan ini kerana ia menjadi antara sumber utama kepada peniaga kecil untuk terus bertahan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran Kepada Peminjam Kali Ke 1/2026 di Dewan YPU, di sini hari ini.

Dalam majlis terbabit, seramai 41 penerima menerima pembiayaan dan Dana YPU melibatkan peruntukan sebanyak RM1,090,169.60.

Menurut beliau, sejak tahun 2019, lebih RM57 juta telah dibelanjakan bagi membantu usahawan di negeri ini, termasuk peruntukan melebihi RM1 juta bagi fasa semasa.

Katanya, sebahagian bantuan diberikan dalam bentuk geran, khususnya kepada golongan seperti orang kurang upaya (OKU), namun majoriti bantuan disalurkan melalui pinjaman.

“Pinjaman ini penting kerana kita mengharapkan bayaran balik daripada penerima dapat membantu memberi peluang kepada usahawan lain untuk turut menerima manfaat,” jelasnya.

Mengulas mengenai peruntukan tahun ini, beliau berkata, kerajaan negeri menyasarkan antara RM3 juta hingga RM4 juta, bergantung kepada kedudukan kewangan semasa dan kadar bayaran balik peminjam.

“Bagi fasa pertama, kita peruntukkan RM1 juta. Jika dapat dilaksanakan dalam empat fasa, insya-Allah jumlah keseluruhan boleh mencecah RM4 juta,” katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan