Kerajaan Negeri Utamakan Pendidikan Selari Teras Induk PITAS 2030
KUALA NERUS, 13 November - Bidang pendidikan sentiasa menjadi fokus utama kerajaan negeri dan ia selari dengan salah satu teras Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS2030) yang memfokus pembangunan insan melalui pemantapan pendidikan.
Pengerusi Jawatankuasa pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, ia terbukti dengan penubuhan Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) dan Sekolah Menengah Darul Iman (SMIDI).
Katanya, pembangunan islam berteraskan prinsip Islam akan melahirkan masyarakat yang intelek dan berdaya saing perlu diyakini.
"Saya juga berharap agar seluruh warga Sekolah Menengah Agama Negeri Terengganu termasuk Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu, pengurusan sekolah dan guru-guru akan dapat terus memanfaatkan segala peluang yang ada bagi bekerjasama dan berusaha dengan lebih tekad.
"Dengan tekad yang bulat dan semangat yang teguh, kita mampu memastikan sekolah di negeri ini akan terus melakar kejayaan dalam pelbagai bidang, sama ada akademik, ko-kurikulum mahupun bidang lain yang akan mengangkat nama Terengganu di peringkat kebangsaan dan antarabangsa," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hafl Al-Takrim Pelajar Cemerlang SPM, STAM dan STPM Tahun 2023 di Dewan Utama, Al-Riyadah Residence, Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), di sini, semalam.
Menurut Satiful, majlis yang diadakan itu merupakan satu penghargaan yang amat bermakna meraikan kejayaan 120 orang pelajar yang mencatat keputusan paling cemerlang di dalam peperiksaan terbabit.
"Kita mengiktiraf kejayaan dan kecemerlangan anak-anak pelajar yang telah berusaha gigih dalam pelajaran mereka.
"Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pelajar yang menerima penghargaan pada hari ini.
"Kejayaan ini bukan sahaja hasil usaha pelajar yang tidak pernah putus asa tetapi juga berkat doa ibu bapa serta bimbingan guru-guru yang tidak pernah jemu mendidik dan membimbing," ujarnya.