Sidang Kemuncak Antarabangsa Terengganu Kecam Genosid di Palestin
MARANG, 23 Ogos - Kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diharap bersikap lebih tegas terhadap mana-mana pihak yang menghina Jalur Gemilang.
Ahli Parlimen Marang, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang berkata, bendera adalah simbol bagi sesebuah negara dan seluruh rakyat Malaysia perlu menghormati simbol berkenaan.
“Semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama perlu menghormati Jalur Gemilang dan anak-anak muda turut dinasihatkan agar terus menghayati erti kemerdekaan negara.
“Mereka yang anti kemerdekaan merupakan saki-baki penjajah dan komunis yang mempunyai dendam terhadap perajurit negara. Kita menghargai tentera kita yang menentang komunis di samping pejuang kemerdekaan dalam semua kalangan termasuk Cina dan India,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di kediamannya sejurus selesai mengadakan Kuliah Dhuha di Masjid Rusila, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Presiden PAS turut itu berkata, pengorbanan tentera dan perjuang-pejuang kemerdekaan termasuk orang Cina, India yang sama-sama memperjuangkan kemerdekaan harus dihargai semua pihak.
“Kita hormati dan Jalur Gemilang adalah persetujuan bersama mereka yang memperjuangkan kemerdekaan itu.
“Kita menghargai, orang PAS masa itu parti pembangkang, bukan kerajaan, hanya satu kerusi sahaja pada masa itu tahun 1955,” katanya lagi
Beliau berkata, partinya menerima kemerdekaan dan mengisi kemerdekaan itu dengan cara yang betul dan bukannya dengan cara mencabut bendera atau menterbalikkan bendera keramat itu.
“Bendera itu tetap kita pertahankan. Apa lagi bendera itu ada simbol simbol dia, simbolik (maksud) sesebuah bendera ini ada maknanya,” tambah beliau.
Baru-baru ini 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis bagi mendesak pihak berkuasa untuk menyiasat isu Jalur Gemilang yang didakwa sengaja dipasang secara terbalik di beberapa premis seluruh negara.