Berita :
Kerajaan Perketat Pemantauan Stesen Minyak, Bendung Ketirisan Diesel
Kerajaan Perketat Pemantauan Stesen Minyak, Bendung Ketirisan Diesel
Noraini Jusoh
1 jam yang lepas
68

KUALA TERENGGANU, 13 April – Kerajaan terus mempergiat usaha membendung ketirisan bahan api bersubsidi menerusi pelaksanaan Ops Tiris Bersepadu 4.0 yang kini memberi tumpuan kepada pemantauan stesen minyak di seluruh negara.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, Senator Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, sepanjang tempoh 16 Mac hingga 12 April lalu, sebanyak 13,759 pemeriksaan telah dijalankan di seluruh negara menerusi operasi tersebut.

“Hasilnya, sebanyak 239 kes telah direkodkan dengan 68 individu berjaya ditahan. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM11 juta, melibatkan bahan api bersubsidi serta barangan kawalan lain,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan pelaksanaan pematuhan larangan penjualan dan pembelian barang kawalan (Petron Ron 95) di stesen minyak di Kuala Ibai di sini, hari ini. 

Mengulas lanjut katanya, Ops Tiris Bersepadu 4.0 melibatkan kerjasama pelbagai agensi penguat kuasa termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengetuai penguatkuasaan di darat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memantau kawasan sempadan, manakala Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bertanggungjawab di perairan negara.

Tegas beliau, langkah proaktif telah diambil bagi memastikan ketirisan barang kawalan seperti RON95, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) tidak berlaku, selaras dengan peruntukan di bawah Akta Kawalan Bekalan.

“Dalam masa sama, kerajaan turut memperkenalkan mekanisme tambahan bagi mengelakkan penyalahgunaan petrol RON95, khususnya melibatkan kenderaan asing. 

“Notis larangan telah dipamerkan di stesen minyak, manakala kenderaan berdaftar asing yang menggunakan kad kredit luar negara tidak dibenarkan mengisi minyak di pam, sebaliknya perlu berurusan di kaunter.

“Di kawasan sempadan pula, kawalan lebih ketat dilaksanakan dengan had pengisian maksimum sebanyak 20 liter bagi setiap kenderaan asing,” ujarnya.

Katanya, langkah bersepadu ini diharap dapat memastikan bekalan bahan api bersubsidi kekal untuk kegunaan rakyat tempatan serta mengurangkan aktiviti penyeludupan yang merugikan negara.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan