Berita :
Terengganu Terus Usaha Bantu Hakim Danish
Terengganu Terus Usaha Bantu Hakim Danish
Mohd Irsyadi Abu Bakar
6 jam yang lepas
143

KUALA LUMPUR, 12 April - Kerajaan Terengganu akan terus berusaha membantu pelumba Moto3 World Championship, Hakim Danish Ramli bagi memastikan kelangsungan kariernya dalam bidang permotoran itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim memaklumkan, bahawa pihak kerajaan negeri sebenarnya telah menaja beliau dan beberapa pelumba cilik sejak beberapa tahun lalu lagi.

"Cuma, tahun ini kita tidak putuskan lagi dan penajaan ini digerakkan menerusi syarikat anak negeri (GLC) sebenarnya.

"Tahun ini kita akan cuba lagi membantu supaya sokongan ini dapat diteruskan pada masa akan datang.

"Tetapi, kita tidak boleh hendak ambil alih kerana kos terlalu tinggi, jadi kita hanya boleh membantu meringankan beban pihak ZK Racing yang banyak menguruskan pelumba cilik ini," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Memperkenalkan Pemain Terengganu Marvels di sini, pada Jumaat.

Mengulas tentang penajaan dalam industri sukan, Hishamuddin menegaskan bahawa industri sukan adalah industri yang mahal jadi semua aspek memerlukan sokongan kewangan tinggi.

"Dalam situasi ekonomi tidak menentu kini, ia memberi kesan besar kepada agenda sukan secara keseluruhan.

"Bagi pihak kerajaan negeri, kita sangat mengalu-alukan semua pihak untuk membangunkan agenda sukan di negeri Terengganu.
"Hari ini dengan Terengganu Marvels kita menerima beberapa penajaan. 

"Walaupun bukan satu jumlah besar tetapi sesuai dengan perjalanan pasukan ini dan ia sangat membantu meringankan beban untuk pasukan beraksi dalam liga," katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan