Jalur Gemilang
Berita :
Pemuliharaan Biodiversiti Perlu Seiring Pembangunan
Pemuliharaan Biodiversiti Perlu Seiring Pembangunan
Noraini Jusoh
2 jam yang lepas
96

KUALA TERENGGANU, 28 Oktober – Pembangunan negeri perlu dirancang secara lestari dengan mengambil kira keupayaan alam sekitar bagi memastikan khazanah biodiversiti terus terpelihara untuk generasi akan datang.

Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah, Terengganu mempunyai kekayaan biodiversiti yang merangkumi hutan, tanah lembap, sungai, tasik, tanah gambut dan ekosistem marin yang menjadi sebahagian daripada warisan semula jadi negeri.

Titah baginda, ekosistem berkenaan saling bergantung antara satu sama lain dan sebarang gangguan terhadap satu komponen boleh memberi kesan kepada keseluruhan rantaian kehidupan.

“Kita tidak perlu memilih antara pembangunan dengan alam sekitar. Sebaliknya, kita perlu mempunyai kebijaksanaan untuk merancang pembangunan dengan mengambil kira had dan keupayaan persekitaran semula jadi,” titahnya.

Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Seminar Biodiversiti Terengganu 2026 yang bertemakan Acting Locally for Global Impact: Empowering Terengganu’s Biodiversity for Global Sustainability di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.

Tengku Muhammad Ismail turut menegaskan bahawa usaha pemuliharaan tidak semestinya memerlukan tindakan berskala besar, sebaliknya langkah kecil yang dilaksanakan secara konsisten di peringkat tempatan mampu memberikan impak lebih luas.

Ujar baginda, penglibatan masyarakat setempat dalam menyampaikan kesedaran mengenai kepentingan melindungi alam sekitar kepada pengunjung juga berpotensi memperluas mesej pemuliharaan.

Dalam pada itu, baginda menekankan kepentingan penyelidikan dan perkongsian ilmu dalam memastikan usaha pemuliharaan biodiversiti dilaksanakan secara berkesan.

“Ilmu pengetahuan hanya benar-benar bermanfaat apabila diterjemahkan kepada pengurusan yang berkesan dan penyelesaian praktikal di lapangan.

“Kerjasama antara kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan, institusi pengajian tinggi, penyelidik, pertubuhan bukan kerajaan, sektor swasta dan komuniti setempat amat penting bagi memastikan usaha pemuliharaan memberikan hasil yang bermakna,” titah baginda.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan