Jalur Gemilang
Berita :
Selepas Hampir Sedekad, Hospital Kemaman RM427 Juta Dijangka Siap Tahun Depan
Selepas Hampir Sedekad, Hospital Kemaman RM427 Juta Dijangka Siap Tahun Depan
Mastura Jamal Din
2 jam yang lepas
121

KEMAMAN, 27 Oktober – Penantian penduduk Kemaman untuk menikmati kemudahan kesihatan yang lebih selesa akan berakhir apabila Hospital Kemaman bernilai RM427 juta di Bandar Baharu Kijal dijangka siap tahun hadapan.

Projek yang kini mencapai 85 peratus kemajuan pembinaan itu bakal menjadi kemudahan kesihatan utama bagi menampung keperluan penduduk setempat, sekali gus mengurangkan tekanan terhadap Hospital Kemaman sedia ada di Chukai yang berdepan peningkatan jumlah pesakit.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pihaknya berharap baki pembinaan hospital berkenaan dapat diselesaikan mengikut jadual bagi membolehkan penduduk menikmati perkhidmatan kesihatan yang lebih baik.

Menurutnya, hospital baharu itu dilengkapi 300 katil, lapan dewan bedah, unit rawatan rapi, kompleks klinik pakar serta klinik rawatan harian.

“Hospital baharu berkenaan bukan sahaja meningkatkan kapasiti rawatan serta memberi keselesaan kepada pesakit dan penduduk setempat, malah bakal menjadi mercu baharu perkhidmatan kesihatan di daerah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis perasmian projek pembangunan bercampur Garden Bay City dan The Walk di Kerteh, di sini, hari ini.

Projek Hospital Kemaman yang dimulakan pada November 2017 itu bagaimanapun mengalami kelewatan susulan beberapa masalah teknikal termasuk kekangan kewangan yang dihadapi kontraktor.

Sehubungan itu, Wan Sukairi berharap segala urusan berkaitan pembinaan dapat berjalan lancar supaya kemudahan berkenaan dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan