KUALA TERENGGANU, 28 Oktober – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar meminta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjelaskan bagaimana parti itu berhasrat menggunakan logo PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Menurutnya, persoalan berhubung penggunaan logo gabungan berkenaan perlu dijawab sendiri oleh Bersatu memandangkan Pengerusi PN merupakan pihak yang dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai penandatangan berkaitan penggunaan logo tersebut.
“Jadi, macam mana Bersatu nak bertanding menggunakan logo PN? Kena tanya Bersatu balik bagaimana mereka hendak gunakan logo itu.
“Bagaimanapun, kita tetap akan menggunakan logo kita, insya-Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin pada Seminar Biodiversiti Terengganu 2026 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Sementara itu, mengulas mengenai pembahagian kerusi menjelang PRN Melaka, Ahmad Samsuri berkata, rundingan antara parti komponen PN dilaksanakan berdasarkan prinsip asas yang telah dipersetujui bersama.
Katanya, prinsip sama turut menjadi panduan dalam menghadapi pilihan raya di negeri lain termasuk Johor dan Negeri Sembilan, selain pilihan raya umum akan datang.
“Perkembangan di Melaka merupakan sebahagian daripada pelaksanaan prinsip yang telah dipersetujui bersama dan diharap dapat diteruskan dalam rundingan seterusnya,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Samsuri memaklumkan PN sudah mengenal pasti calon yang bakal diketengahkan menerusi cadangan parti komponen yang berhasrat menyertai pilihan raya berkenaan.
Menurutnya, calon yang dicadangkan mempunyai kebolehan dan potensi untuk memenangi pilihan raya, dengan pemilihan dibuat berdasarkan pertimbangan tertentu.
“Jadi tunggulah malam esok untuk pengisytiharan calon,” katanya.
Beliau turut mengesahkan pertemuan dan perbincangan antara wakil PN dengan parti komponen telah diadakan bagi menyelaraskan gerak kerja bersama menjelang PRN Melaka.
Ahmad Samsuri berkata, pendekatan kerjasama yang bakal dilaksanakan di Melaka dijangka menjadi penambahbaikan kepada model yang pernah digunakan di Negeri Sembilan.
Beliau berharap penambahbaikan itu dapat menghasilkan kerjasama lebih berkesan dalam menghadapi pilihan raya berkenaan.