Kerajaan Peruntuk RM270,000 Laksana Kursus Asuhan Dan Didikan Awal Kanak-Kanak

KUALA TERENGGANU, 27 Julai - Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) menghargai inisiatif Kerajaan Persekutuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang meluluskan bajet sebanyak RM270,000 bagi pelaksanaan 9 siri kursus asuhan awal kanak-kanak.

Wan Mohd Zaki Wan Abdullah.

Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), Wan Mohd Zaki Wan Abdullah berkata, pelaksanaan kursus tersebut adalah bertujuan untuk menyediakan pengasuh-pengasuh yang berkelayakan dalam bidang perkembangan awal kanak-kanak secara atas talian (online) terutama di musim penularan COVID-19.

"Kerajaan negeri berterima kasih kepada JKM Negeri dan Malaysia yang memberi kepercayaan dan amanah kepada YPKT sebagai pusat akreaditasi dan pelaksana Kursus Asuhan Dan Didikan Awal Kanak-Kanak Permata (KAP) secara online.

"Kursus Asuhan Dan Didikan Awal KAP merupakan kursus wajib di bawah Akta TASKA 1984 dan peraturan-peraturan TASKA 2012, di mana ia memberi penekanan kepada enam bidang perkembangan utama kanak-kanak di bawah umur empat tahun.

"Modul tersebut diubah suai dan ditambah baik bersesuaian dengan kaedah terkini untuk merangsang pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak. Objektif utama KAP adalah bagi meningkatkan kualiti pengasuhan kanak-kanak serta meningkatkan profesionalisme para pengasuh," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kursus Asuhan Dan Didikan Awal KAP Secara Atas Talian (Online) Melalui Program Insentif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) di Dewan Utama YPKT di sini hari ini.

Simulasi kursus secara online.

Seramai 10 orang peserta dari semua kawasan mendapat pentauliahan sebagai jurulatih dalam majlis tersebut. Turut diadakan simulasi kursus secara online dengan disaksikan oleh Wan Mohd Zaki.

Hadir sama, wakil Pengarah JKM Negeri, Nurul Shahida Md Salleh, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri, Md Hilman Abd Rashid, wakil Pengarah Kesihatan Negeri, Azlina Ngah, Penolong Pengarah Jabatan Korporat dan Kemasyarakatan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Mohd Saiful Bahri Ramli dan wakil Persatuan Pendidik Taska Swasta Negeri Terengganu, Maryana Jusoh.

Sehingga akhir tahun ini, dijangka seramai 300 orang peserta akan menyertai enam siri kursus secara online yang akan diadakan selama tiga bulan bermula 3 Ogos ini dan berakhir awal November nanti.

Zalina Mohd.

Sementara itu, menurut jurulatih kursus, Zalina Mohd, 52, pengasuh yang berkelayakan sangat digalakkan mengikuti kursus tersebut yang memberi pendedahan mendidik untuk meningkatkan perkembangan menyeluruh kanak-kanak.

"Ia sekali gus membantu perkembangan anak-anak sekali gus menyumbang pembentukan modal insan mereka," ujarnya.