Kerajaan Sedia Bantu Usahawan Pertanian

Ustaz Ridzuan Hashim (tiga dari kanan) melawat booth pameran di Program 'Go Green Go Health'.
Oleh: Mohd Haniff Abas

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Negeri Terengganu bersedia untuk membantu para usahawan termasuklah dalam bidang pertanian dan penternakan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Ridzuan Hashim berkata, sebanyak 10 juta ringgit setahun telah diperuntukkan oleh kerajaan negeri melalui manifesto yang diumumkan untuk para usahawan, khususnya dalam bidang industri kecil dan sederhana.


Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program ‘Go Green Go Health’ yang dianjurkan dengan kerjasama oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Dewan Komuniti Kampung Banggol Tok Esah (29 September).

Menurutnya, program yang bertemakan kesihatan dan pertanian ini diisi dengan pemeriksaan kesihatan, derma darah, ceramah kesihatan, pameran dan juga khidmat nasihat menjana pendapatan melalui aktiviti pertanian.

“Anak muda sekarang sangat cenderung untuk bekerja makan gaji, sedangkan sangat banyak hasil bumi yang Allah SWT kurniakan kepada kita untuk diusahakan.

“Usaha-usaha dalam bidang pertanian dan penternakan sebenarnya sangat banyak menjana pendapatan yang lebih besar, namun masalah modal menjadi penghalang utama”, ujar beliau lagi.

Katanya, mencari rezeki menggunakan tangan sendiri adalah suatu kerja yang sangat mulia dan dipandang tinggi dalam Islam.


Turut hadir, Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Datuk Dr. Ahmad Zubaidi Abdul Latif dan Pengarah Pusat Pembangunan Holistik Dan Kaunseling Pelajar, Universiti Malaysia Terenganu (UMT), Dr Izan Dato’ Hj Jaafar.

Tag: