Kerajaan Terengganu Sokong Usaha Peningkatan Ilmu Fiqh Munakahat
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos - Kerajaan Negeri Terengganu menyokong usaha peningkatan ilmu Fiqh Munakahat dalam kalangan Pegawai Khidmat Nasihat, Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam serta jurunikah negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata sokongan ini adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk memastikan pegawai dan jurunikah mempunyai kefahaman mendalam tentang undang-undang keluarga Islam.
"Program talaqqi khas seperti ini adalah langkah penting dalam memperkasakan pengetahuan dan kemahiran pegawai dalam melaksanakan tugas mereka dengan lebih berkesan.
"Kerajaan negeri percaya bahawa dengan ilmu yang mendalam dan pemahaman yang baik mengenai Fiqh Munakahat.
"Pegawai dapat memberikan perkhidmatan yang lebih berkualiti kepada masyarakat serta menangani isu-isu perkahwinan dan perceraian dengan lebih cekap," katanya ketika berucap pada program Talaqqi Khas 'Iddah Musyarah' bertempat di Houseboat Tasik Kenyir pada hari ini.
Tambah Dr Khalil, inisiatif ini juga diharapkan dapat memperbaiki pengurusan dan pelaksanaan undang-undang keluarga Islam di negeri ini.
Sekali gus, memperkukuh peranan pegawai dalam membimbing masyarakat ke arah kehidupan berkeluarga yang harmoni dan berlandaskan hukum syarak.