Kerdil Bukan Halangan Berjaya Peroleh Diploma

Ahmad Syahir Osman berjaya menerima segulung diploma.
Oleh: Amiirullah Mansor

DUNGUN, 6 Ogos - Seorang Orang Kelainan Upaya (OKU) dari Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) di sini berjaya menerima segulung diploma hasil usaha gigih dan tabah menyahut cabaran menuntut ilmu di pusat pengajian berkenaan.

Ahmad Syahir Osman, 22, berkata, kejayaan yang dicipta hari ini (kelmarin) adalah anugerah Ilahi dan berkat doa serta usahanya yang terhad dalam melakukan sesuatu tidak seperti pelajar normal.

Selain itu, katanya. kesukaran beliau dalam melakukan sesuatu kerja terutama dalam menyiapkan kerja dalam makmal (lab) bukan menjadi penghalang baginya menjayakan sesuatu tugasan.

"Saya meminta bantuan rakan bila saya memerlukan pertolongan untuk melaksanakan kerja tertentu," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Majlis Konvokesyen Kali Ke-16 di Dewan Dagang PSMZA kelmarin.

Ahmad Syahir berkata, beliau telah kehilangan bapanya pada Februari tahun lalu namun tabah menghadapi ujian kehilangan orang tersayang itu bahkan ia mendorongnya semakin gigih berusaha sehingga menimba kejayaan memperolehi segulung diploma tersebut.

"Hidup kita mesti diteruskan walaupun kita menghadapi musibah kehilangan insan yang tersayang," jelasnya.

Dalam pada itu, kakaknya Siti Sarah Osman, 27, yang viral dalam artikel perkahwinan unik pada 4 Februari lalu turut menzahirkan rasa gembira atas kejayaan adiknya itu di dalam status aplikasi WhatsApp miliknya.


Syahir berjaya menerima Diploma Kejuruteraan Elektrik daripada Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr Mohammad Naim Yaakub dalam majlis tersebut kelmarin.

Seramai 1,162 graduan menerima sijil masing-masing dan majlis itu berlangsung selama dua hari bermula kelmarin.


Tag: