'Kerja Keras, Teguh Pertahankan Kemaman'

KEMAMAN, 23 November- Ahli dan penyokong PAS diingatkan perlu bekerja keras untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman yang dimenangi sebelum ini dan tidak terlalu selesa dengan kekuatan parti sendiri.

Calon PAS Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jentera parti perlu mengekalkan momentum dan bekerja sehingga saat yang terakhir dalam tempoh kempen yang hanya berbaki sembilan hari lagi.

“Kita belum lagi dikira pemenang sehingga kita sampai ke garis penamat, jadi tentulah kita kena bergerak dengan begitu cermat dan berstrategi, Insya-Allah,  sama-sama kita mencapai kemenangan di garis penamat pada 2 Disember (hari pengundian).

“Kita kena anggap bahawa ini (PRK) adalah sama seperti pilihan raya lain yang kita hadapi dan setiap kali pilihan raya yang kita lalui selama puluhan tahun sejarah perjuangan PAS, kita hadapinya dengan penuh serius.

“Tidak kira sama ada kita ada potensi menang atau pun tidak, kita anggap ia adalah sama, gerak kerjanya tetap sama dan cabaran yang ada pada kita hari dalam pilihan raya kecil ini tentulah lebih besar,” katanya.

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata demikian  ketika berucap pada Ceramah Perdana PRK Parlimen Kemaman di Dewan Sivik Pekan Kijal di sini malam tadi.

PRK Parlimen Kemaman kali ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu  antara Barisan Nasional (BN) dan PAS.

BN mempertaruhkan Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor manakala Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS diberi tanggungjawab mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman yang dimenangi parti itu sebelum ini.


Tag: