KUALA TERENGGANU, 29 Disember – Kes tangkapan khalwat di negeri Terengganu antara tahun 2019 hingga 2023 telah menunjukkan penurunan yang sangat ketara.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kes-kes khalwat yang direkodkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) pada tempoh tersebut menunjukkan trend pengurangan positif.
Katanya, dalam tempoh lima tahun terbabit, kes tangkapan khalwat turun kepada 184 kes tahun berbanding 359 kes pada tahun 2019.
“Pada 2019 Terengganu mencatakan 359 kes, tahun 2020 ia berkurang kepada 258 kes, 2021 turun lagi kepada 193 kes, 186 kes pada 2022 dan pada tahun 2023 hanya 184 kes.
“Penurunan ini adalah hasil daripada usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pentingnya menjaga akhlak dan mematuhi peraturan agama, selain daripada tindakan penguatkuasaan yang lebih berkesan oleh JHEAT.
"Selain daripada penguatkuasaan undang-undang, kejayaan ini juga tidak lepas daripada usaha bersama pihak berwajib, institusi pendidikan dan masyarakat dalam mendidik dan membentuk generasi yang lebih bertanggungjawab,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini.
Dr. Muhammad Khalil juga berkata, usaha pihaknya meningkatkan program-program dakwah serta pendekatan yang lebih holistik untuk menangani isu-isu sosial membuahkan hasil.
Beliau turut mengingatkan bahawa walaupun kes khalwat semakin berkurang, usaha untuk memastikan masyarakat sentiasa berpegang kepada nilai-nilai agama perlu diteruskan.
"Terengganu akan terus mempergiatkan kempen pencegahan dan program kesedaran dalam usaha membentuk masyarakat yang lebih sejahtera dan terhindar daripada perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam.
“Termasuk pada Jumaat lalu kita melaksanakan hukuman sebat syariah terhadap pesalah khalwat di depan 70 saksi bagi memberi pengajaran dan mendidik masyarakat agar tidak melakukan apa yang dilarang dalam agama,” tegasnya.