• 08 Sept 2024 | 4 Rabiul Awal 1446

Kes Malaria Import Meningkat di Terengganu

BESUT, 22 Julai -  Sebanyak 25 kes malaria di rekodkan di Terengganu sejak awal tahun ini membabitkan 24 kes malaria import dan satu kes jangkitan malaria zoonotik.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong berkata jumlah itu menunjukkan penurunan 62 peratus daripada tahun lepas iaitu 65 kes namun berlaku peningkatan kes ketara apabila 20 kes malaria direkodkan dalam kalangan warga asing

Katanya, daripada 24 kes ini, 20 kes adalah berlaku di Hulu Terengganu, manakala Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Dungun serta Kemaman masing-masing mempunyai satu kes.

"Berlaku peningkatan kes ketara  dalam kalangan warga asing bekerja di tapak pembinaan di Kampung Machang, Hulu Terengganu.

"Kes malaria import ini membabitkan etnik Rohingya dan warga Bangladesh, Pakistan, India serta Papua New Guinea," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Hari Malaria Sedunia Peringkat Negeri Terengganu di Jertih di sini semalam.

Justeru itu, beliau berkata saringan awal sudah dilakukan ke atas penduduk di sekitar Kampung Machang, Kampung Kua serta Kampung Pengkalan Ajal, namun tiada kes dalam kalangan warga tempatan direkodkan.

“Hasil tinjauan ke lokasi penempatan mereka yang terlibat dan dijangkiti malaria itu, pihaknya mendapati keadaan kawasan diduduki tidak bersesuaian dan ada yang hanya tinggal di dalam khemah.

Katanya, majikan juga perlu memaklumkan kepada jabatan kesihatan sebelum membuka tapak baharu pembinaan untuk saringan awal malaria dan menyediakan penginapan lebih baik kepada pekerja.

Dr Kasemani juga memaklumkan bagi menjalankan kerja-kerja pembasmian di kawasan terlibat, JPNT turut melantik 'Duta Malaria'  yang bertangungjawab memaklumkan akan kemasukan pekerja asing baru kepada pihak kesihatan bagi membolehkan saringan penyakit malaria dilakukan.

Tambahnya lagi, setakat ini seramai 176 orang duta malaria telah dilantik di seluruh Terengganu.