Kesedaran Islam, Suasana Tenang Faktor Terengganu Digemari Siswa Antarabangsa

KUALA NERUS, 20 Februari – Tahap Kesedaran Islam yang baik serta suasana tenang adalah diantara faktor utama mengapa Terengganu digemari sebagai destinasi pembelajaran dan tempat tinggal, menurut pendapat mahasiswa-mahasiswi antarabangsa di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Doktor Falsafah (PhD) Ekonomi, Dr Umar Muhammad Dabachi Bida, 38, yang menyifatkan penghayatan Islam di negeri ini amat berprinsip termasuk semangat Ukhwah tinggi setiap kali beliau berkunjung ke masjid di sekitar universiti.

“Bila lihat di sekitar Kampus Gong Badak dan Kuala Nerus, ini adalah tempat yang sangat aman, tahap jenayah di sini sangat rendah berbanding Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, keselamatan memuaskan ada disini.

“Anda jarang melihat mana-mana orang Islam berpakaian menjolok mata, Masjid di mana-mana, malah dalam masyarakat orang menghormati integriti dan kemanusiaan.Semuanya di sini amat sederhana dan mudah. Sebagai seorang Muslim daripada Nigeria, saya berada di tempat yang selamat.

“Dari segi ekonomi, kos sara hidup di sini juga agak murah, dengan dua ringgit anda boleh membeli makanan di luar, sesiapa sahaja terutama pelajar asing mampu tinggal di sini,” kata ilmuwan Nigeria itu.

Selain itu, Umar turut menasihatkan penduduk setempat agar terus memperkasakan cara hidup beragama dengan ilmu, mempelajari bahasa Inggeris, bahasa Arab sambil menyarankan kerajaan tempatan dan ibu bapa mengajar al-Quran dan Hadis untuk generasi akan datang.

Beliau juga menyifatkan UniSZA sebagai Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang bermutu tinggi, dilengkapi kemudahan dan tenaga pengajar bertaraf dunia yang membolehkannya menguasai bidang pembangunan, alam sekitar dengan minyak dan gas.

Seorang lagi pelajar yang turut berkongsi pengalaman positifnya mengenai persekitaran Islamik ialah Fatimah Abdullah (Xu Jing), 38, berkata UNISza bahawa adalah tempat yang lebih mudah baginya untuk mengamalkan agama Islam.

“Sejak pertama kali datang ke sini pada 2013, surau dan masjid adalah perkara biasa dan mudah didapati, saya boleh memakai hijab dan mencari makanan halal dengan mudah, pengalaman yang sama sekali berbeza berbanding di China.

“Selain itu, saya berasa lebih selesa tinggal di sini dengan tempat-tempat yang indah untuk dikunjungi dan orang-orang serta rakan-rakan yang mesra sepanjang perjalanan,” kata guru bahasa Mandarin itu.

Jelas seorang pula mahasiswa PhD dalam Pemasaran Pelancongan dari Pakistan, Asif Sanaullah Balti, sifat aktif dan kecantikan masjid tempatan juga diantara faktor kenapa beliau serta anaknya meminati Terengganu.

Bapa berusia 35 tahun yang tinggal di Tok Jembal itu berkongsi rasa cintanya rumah ibadat tersebut yang indah dan banyak di sekitar Kuala Nerus, berkata khutbah dan bacaan al-Quran setiap hari membuatkan dia merasa tenang.

Sementara itu, Pengarah Pusat Antarabangsa UniSZA, Anuar McAfee menyebut bahawa persekitaran majoriti Islam disamping perkhidmatan pendidikan kualiti tinggi, memainkan pengaruh besar dalam membawa masuk pelajar asing baru datang dan tinggal di sini.

“Berbanding cabaran dan dugaan di luar pantai timur, Terengganu mampu menjadi ‘kampung’ buat mereka, kami pada mulanya bimbang sama ada warga luar ini akan menyesuaikan diri di sini atau tidak, tetapi nampaknya mereka sebati dengan baik dan diterima masyarakat,” katanya.