Berita :
Ketidaktentuan Ekonomi Global, Risiko Pembuangan Kerja Jadi Kebimbangan
Ketidaktentuan Ekonomi Global, Risiko Pembuangan Kerja Jadi Kebimbangan
Rohayati Ripin
1 hari yang lepas
124

BESUT, 25 Mac – Ketidaktentuan ekonomi global akibat konflik di Timur Tengah menjadi antara isu paling kritikal yang sedang diberi perhatian serius oleh kerajaan negeri ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, perkembangan geopolitik dunia bukan sahaja memberi kesan kepada negara besar.

Malah katanya, ia turut memberi impak langsung kepada ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat.

Jelasnya, antara ancaman utama yang perlu ditangani segera ialah risiko pembuangan pekerja susulan tekanan ekonomi global.

“Perkara yang paling kita bimbangkan ialah apabila berlaku pembuangan kerja kerana ia memberi kesan terus kepada rakyat, khususnya dari segi pendapatan dan kelangsungan hidup,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas cabaran semasa ekonomi dunia yang semakin tidak menentu, khususnya melibatkan konflik di Timur Tengah, di sini, semalam.

Dalam masa sama, beliau turut menegaskan bahawa kenaikan harga minyak global juga perlu dikawal agar tidak terlalu memberi tekanan kepada rakyat di negeri ini.

Walaupun berdepan cabaran tersebut, katanya, kerajaan negeri tetap meneruskan agenda pembangunan seperti yang telah dirancang tanpa menjejaskan hala tuju pentadbiran.

“Kita teruskan perancangan pembangunan negeri seperti biasa, namun dalam masa sama mengambil kira cabaran global yang berlaku,” ujarnya.

Beliau turut berharap agar konflik antarabangsa dapat diselesaikan segera demi menjamin keamanan dunia, khususnya melibatkan negara-negara Islam.

“Semoga apa yang berlaku ini memberi pengajaran kepada semua pihak agar menghormati keamanan dan kedaulatan sesebuah negara,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri komited memastikan kestabilan ekonomi terus dipertahankan demi kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan