• 05 Nov 2024 | 03 Jamadil Awal 1446

Ketukan Jiran Selamatkan Kami Sekeluarga

HULU TERENGGANU, 14 Disember- Kegagalan siren kecemasan berbunyi menyebabkan sebahagian penduduk di  Projek Penyusunan Semula Kampung (PPSK) Felcra Gunung Menerong, Ajil, di sini tidak menyedari rumah mereka mula dinaiki air.

Salah seorang mangsa, Nor Laila Kasuma Nasir, 39, ketukan pintu daripada jiran kira-kira jam 5.30 pagi menyedarkan mereka bahawa air mula melimpah ke perkarangan kampung.

"Mujur jiran datang kejutkan saya sekeluarga kerana siren amaran banjir tidak berbunyi seperti kebiasaan.

"Saya terus  menyuruh anaknya Nur Alesya Maisara, 10, membawa adiknya Nur Syafia Hanna, 16 bulan, ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sambil ditemani jirannya,"katanya kepada pemberita.

Selepas itu, dia kembali ke rumah dan sempat mengemas sebahagian barangan di dalam rumah bersama anak yang lain manakala suami Mohd Zainudin Alias, 37, membawa keluar kenderaan ke tempat selamat.

Sementara itu,  Zakiah Ahmad, 40, berkata, dia menyedari air mula melimpah kira-kira jam 5 pagi namun hairan kerana siren amaran banjir tidak berfungsi.

"Ramai penduduk kelam kabut termasuk saya dan saya bersyukur kerana jiran datang mengejutkan kami sekeluarga ketika sedang tidur berikutan siren tidak berfungsi.

"Saya sekeluarga  menyimpan sebahagian barangan sebelum berpindah ke rumah ibunya di Kampung Menerong," ujarnya.

Menurutnya, saban tahun PPSK Gunung Menerong, akan berdepan bencana banjir dengan kedalaman air setinggi satu hingga tiga meter.


 


Tag: