KUALA LUMPUR, 5 November - Tindakan Kerajaan Persekutuan memperkenalkan beberapa cukai baharu dan menaikkan kadar cukai semasa dalam Belanjawan Madani 2025 mengundang kritikan pedas Ahli Parlimen Marang yang menganggap ia sangat membebankan rakyat.
Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan, peruntukan besar tidak memberi apa-apa erti sekiranya para pemerintah gagal menunaikan tanggungjawab dengan betul.
"(Berdasarkan kewangan) Islam, (pemerintah) tidak menambah bebanan rakyat dengan pelbagai jenis cukai, sebaliknya menggalakkan pelaburan dari negara luar dan pengurusan sumber secara adil, contohnya, hasil zakat digunakan untuk membangun masyarakat tanpa perlu membebankan rakyat dengan cukai tambahan.
“Dalam Islam ada cukai, bukan tak ada tetapi tidak banyak seperti diamalkan ketika ini yang diajar oleh negara kapitalis, dengan kekayaan hanya berpusing dalam golongan tertentu sahaja.
“Dalam Islam ada cukai Jizyah, cukai keselamatan orang bukan Islam, Kharaj, cukai tanah pertanian milik negara yang diusahakan oleh orang bukan Islam dan ‘Ushur, cukai import dan eksport barang dagangan, ini cukai yang dikenakan dalam Islam dengan kedatangan pelabur (musafir khanah) ke negara Islam,” jelas beliau.
Presiden PAS itu berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Madani 2025 di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam perkembangan lain, Abdul Hadi turut menyuarakan rasa bimbang tentang sekatan suara terhadap rakyat Malaysia yang mengkritik kerajaan.
“Bagi menjamin keadilan berlaku dalam negara, mestilah kebebasan kelompok yang memberi nasihat kepada kerajaan, tetapi sekarang kita ada 3R. 3R tak boleh sentuh, pemimpin kalau salah tak boleh sentuh, agama kalau silap tak boleh sentuh.
“Sedangkan Allah berfirman, manusia mesti saling menasihati dalam kebenaran dan kesabaran. Kita kena sedar kerajaan manusia ini tidak suci, ada silap dan kelemahan, jadi kerajaan mesti ditegur dengan nasihat-nasihat itu.
“Tetapi apa yang berlaku sekarang kelemahan-kelemahan tidak boleh ditegur, kalau tegur akan dikenakan macam-macam tindakan termasuk disiasat pihak polis,” jelasnya.
Justeru, Abdul Hadi berharap agar pihak Kerajaan Persekutuan tidak menutup pintu nasihat sebagaimana diamalkan pemimpin Islam terdahulu.
“Ketua-ketua negara Islam, Saidina Abu Bakar dalam ucapan ketika dilantik menjadi Ketua Negara berkata ‘kalau saya betul, tolong saya, kalau saya salah, tegur saya, taatlah saya kalau saya betul, kalau saya salah, jangan taat saya’.
“Saidina Umar mengatakan, ‘kalau saya betul, tolong saya, kalau saya salah, tegur saya’. Pernah dalam satu peristiwa Saidina Umar, menyampaikan ucapan sebagai Ketua Negara, selepas dia berucap ada wanita tegur dia, ‘wahai Amirul Mukminin, ucapan ini salah tak betul, lalu Saidina Umar menarik balik ucapannya, ini cara terbuka yang diajar oleh Islam,” tambah beliau.