lightning-solid
Berita :
Paya Bunga Hotel Raih MFAR Platinum, Bukti  Komitmen Mesra Muslim
Paya Bunga Hotel Raih MFAR Platinum, Bukti Komitmen Mesra Muslim
Mastura Jamal Din
59 minit yang lepas
35

KUALA TERENGGANU, 4 Disember - Paya Bunga Hotel Terengganu terus mengharumkan nama Terengganu, apabila dianugerahkan Muslim-Friendly Accommodation Recognition (MFAR) bertaraf Platinum oleh Pusat Pelancongan Islam (ITC).

Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah PB Hotel Management Sdn. Bhd., Ahmad Shah Muhamed berkata pencapaian itu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor pelancongan mesra Muslim, yang kini semakin mendapat permintaan tinggi baik dalam kalangan pelancong tempatan mahupun antarabangsa.

Menurutnya, permintaan terhadap segmentasi pelancongan mesra Muslim semakin meningkat pada hari ini.

"Ini memberi anjakan positif kerana ia menyumbang secara signifikan kepada perkembangan industri pelancongan dan perhotelan.

"Justeru itu, PB Hotel terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara destinasi penginapan pilihan utama pelancong Muslim di Malaysia khususnya di Terengganu,"katanya kepada pemberita.

IMG-20251204-WA0127.jpg 225.19 KB

Terdahulu Majlis Apresiasi Penyerahan Plaque MFTHAR (MFAR) sempena Islamic Tourism Month yang berlangsung di The Westin Kuala Lumpur tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan.

Tambah beliau, PB Hotel telah menerima Sijil MFAR dan berjaya mengekalkan tahap kepatuhan melalui proses penilaian ketat berdasarkan Garis Panduan Pengiktirafan Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim.

"Antara elemen yang dinilai termasuk pendaftaran dan permohonan, penyediaan dokumentasi, penilaian awal serta pematuhan fasiliti.

"Setiap proses turut disokong melalui semakan dokumen seperti salinan pendaftaran MOTAC, pelantikan pegawai MFAR, prosedur sertu, sijil arah kiblat, sijil halal dan spesifikasi produk yang mana kesemuanya bagi memastikan hotel berkenaan benar-benar memenuhi standard ditetapkan ITC," ujarnya.

Tambah beliau lagi, dengan kejayaan terbaharu ini, Paya Bunga Hotel Terengganu terus melonjak sebagai antara destinasi penginapan pilihan utama pelancong Muslim yang mengutamakan keselesaan, keyakinan dan ketenangan sepanjang menginap.




Tag :

Artikel Berkaitan