Jalur Gemilang
Berita :
Khidmat Malaysia Terengganu Perkasa Jaringan 4x4, Persediaan Hadapi Bencana Dipertingkatkan
Khidmat Malaysia Terengganu Perkasa Jaringan 4x4, Persediaan Hadapi Bencana Dipertingkatkan
Ezani Razali
3 jam yang lepas
80

KUALA TERENGGANU, 6 November – Khidmat Malaysia Terengganu akan memperkukuh jaringan kerjasama dengan komuniti pemilik kenderaan pacuan empat roda (4x4) di seluruh negeri sebagai langkah meningkatkan kesiapsiagaan serta keupayaan operasi bantuan bencana, khususnya ketika menghadapi musim banjir.

Pengerusi Khidmat Malaysia Negeri Terengganu, Dato’ Hanafiah Mat, berkata penglibatan pemilik kenderaan 4x4 merupakan satu nilai tambah yang besar kepada gerakan sukarelawan, terutama dalam membantu operasi di kawasan yang sukar diakses oleh kenderaan biasa.

Menurut beliau, kenderaan pacuan empat roda mempunyai potensi besar untuk dimanfaatkan sebagai aset sokongan dalam operasi bencana, termasuk penghantaran bekalan makanan dan keperluan asas, membawa petugas serta sukarelawan dan membantu pergerakan logistik ke lokasi yang memerlukan bantuan.

“Dalam situasi banjir, ada kawasan yang sukar ditembusi apabila jalan ditenggelami air atau laluan terputus. Dalam keadaan seperti ini, kenderaan pacuan empat roda boleh memainkan peranan penting dalam membantu masyarakat yang terputus hubungan dan memerlukan bantuan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam Himpunan Sukarelawan Khidmat Malaysia Terengganu, yang menghimpunkan pemilik kenderaan pacuan empat roda dari seluruh negeri Terengganu.

Hanafiah turut mengakui bahawa penglibatan komuniti pemilik kenderaan 4x4 dalam operasi Khidmat Malaysia sebelum ini masih belum dimanfaatkan secara menyeluruh dan perkara itu perlu diberikan perhatian lebih serius.

Justeru, beliau menegaskan bahawa Khidmat Malaysia Terengganu akan mengambil pendekatan lebih proaktif dalam mengenal pasti, menghubungi dan membina jaringan kerjasama bersama pemilik kenderaan 4x4 bagi membolehkan mereka digerakkan secara tersusun apabila diperlukan.

“Penglibatan mereka tidak seharusnya hanya dicari apabila bencana telah berlaku. Sebaliknya, jaringan ini perlu dibina lebih awal, dirancang dengan baik dan diselaraskan supaya kita mempunyai kekuatan sukarelawan yang benar-benar bersedia apabila berhadapan dengan situasi kecemasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa setiap penglibatan sukarelawan dalam operasi bencana perlu diselaraskan bersama pihak berkuasa dan agensi yang mengetuai operasi, dengan aspek keselamatan sentiasa menjadi keutamaan.

Hanafiah juga berharap himpunan berkenaan menjadi titik permulaan kepada kerjasama yang lebih erat antara Khidmat Malaysia Terengganu dengan komuniti pemilik kenderaan pacuan empat roda, sekali gus memperkukuh kapasiti gerakan sukarelawan negeri dalam menghadapi bencana.

Dalam masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan himpunan tersebut dan berharap usaha berkenaan mendapat keberkatan Allah SWT serta menjadi kekuatan tambahan kepada kesiapsiagaan pengurusan bencana di Terengganu.

“Kita mungkin berbeza kenderaan dan latar belakang, tetapi kita mempunyai satu matlamat yang sama, iaitu bersatu, berkhidmat dan membantu masyarakat ketika mereka memerlukan,” katanya.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan