Pembatalan Pertemuan Anwar-Prabowo: Ahmad Amzad Desak Penjelasan Segera
Kisah Yang Hilang Di Dasar Tasik Kenyir
Tasik Kenyir yang menyimpan pelbagai rahsia kehidupan di dasarnya sebelum ditenggelami air. |
Mungkin ramai tidak menyedarinya bahawa di dasar tasik itu menempatkan sembilan kampung dikenali sebagai Kampung Melur, Kelitok, Berching, Petang, Mentong, Melaka, Kuala Terenggan, Kerbak dan Belimbing yang pernah menjadi sebahagian daripada kawasan penempatan penduduk terawal di Hulu Terengganu.
Namun kini cerita masyarakat yang dahulu berkampung jauh di hulu Sungai Terengganu itu bukan sesuatu yang diketahui umum. Kebanyakan kisah-kisah lisan yang turun dari generasi ke generasi itu semakin dilupakan.
Said menunjukkan tanduk rusa berusia lebih seratus tahun yang merupakan peninggalan arwah bapanya yang berusia, satu-satunya tanda kenangan dari Kampung Kelitok. |
Wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) baru-baru ini ke Kampung Kuala Dura, di Kuala Berang untuk menemui Said Penghulu Abbas, 72, bekas penduduk yang pernah mendiami perkampungan Kelitok di dasar Tasik Kenyir sebelum ditenggelami air pada 1984.
Menurut Said, dia dan keluarganya berpindah dari Kampung Kelitok sewaktu berusia 13 tahun dan menetap sepenuhnya di Kampung Kuala Dura sejak 1959.
Katanya, sebelum ditenggelami air, dasar Tasik Kenyir yang suatu ketika dahulu subur dan permai yang mana kampung ini dihubungkan dengan sungai dan perahu atau rakit sebagai pengangkutan utama.
“Penduduk tak ramai, cuma dalam 20 hingga 30 keluarga sahaja yang menetap dalam kampung dan kami bagaikan satu keluarga besar yang hidup bersama-sama.
“Kehidupan kampung Kelitok jauh berbeza dengan kehidupan sekarang macam berada di dalam dunia yang tersendiri disebabkan kedudukan kampung yang terpisah jauh dengan penempatan lain menyebabkan kami pada masa itu bergantung sepenuhnya pada sumber alam
Beliung atau alat membuat perahu yang digunakan sebagai salah satu senjata termasuk untuk menebang pokok oleh penduduk asal Tasik Kenyir masih tersimpan rapi bersama Said. |
Malah, untuk ke bandar Kuala Berang atau Kuala Terengganu ketika itu, penduduknya terpaksa menaiki perahu atau mendayung rakit yang mengambil masa dua hari perjalanan, sebelum terpaksa berjalan kaki hampir setengah hari untuk sampai ke pekan.
"Perjalanan menggunakan rakit buluh atau perahu sangat mencabar kerana penduduk terpaksa mengharungi sungai yang berarus deras dan berbatu.Ada kala kami terpaksa berhenti untuk memikul perahu meniti batuan sehingga melepasi jeram sebelum mengayuhnya kembali ke pekan.
"Ketika itu, kita tak ada kenderaan lain selain berjalan kaki dan menggunakan perahu atau rakit buluh menyusuri sungai untuk ke kampung lain manakala perjalanan dari sebuah kampung ke kampung sebelah memakan masa paling singkat dua jam dan paling lama sehari suntuk. Bayangkan kami bertarung nyawa menaiki rakit buluh meredah arus deras untuk ke pekan untuk dapatkan bahan bekalan makanan seperti minyak, garam dan pakaian,”ujarnya yang kini mempunyai lapan orang anak hasil perkongsian hidup bersama Minah Othman, 70.
Tambahnya, penduduk kampung bertani dan bersawah untuk mendapatkan sumber makanan bagi meneruskan kesinambungan hidup di hutan belantara yang terpencil selama berpuluh-puluh tahun.
“Beras kami tak beli…kami tanam padi sendiri, ada ternakan sendiri seperti ayam atau berburu di hutan kalau teringin nak makan daging atau menjala ikan di sungai.Ini termasuklah tanaman sayuran … semuanya hasil tanaman sendiri. Hidup memang terasing, tetapi kami begitu rapat kerana kelompok kecil itu.
“Kehidupan di tengah belantara yang dilalui oleh kami mula mendapat perhatian kerajaan sekitar 1950-an dan menyarankan penduduk supaya berpindah dan perpindahan pertama bermula pada 1950 secara berperingkat kerana ada yang tidak mahu berpindah sebab sayangkan tanah kebun dan sawah yang luas," ujarnya.
Menurut Said lagi, beliau juga sempat bersekolah di sekolah yang beratapkan daun dan berdinding kayu di kawasan perkampungan itu kerana ayahnya, Penghulu Abbas sangat mementingkan pendidikan walaupun terpinggir dari kehidupan Bandar.
“Sekolah Rendah Pasir Tekor merupakan sekolah pertama saya dan disitulah saya belajar mengenal huruf…walaupun muridnya tidak ramai tapi kami seronok bersama-sama.Cikgu-cikgu yang pernah mengajar pun masih ada lagi hingga sekarang seperti Cikgu Ghani yang kini tinggal di Kampung Bidur ,”ujarnya lagi.
Tambah beliau, tempoh perpindahan penduduk dari 'dasar' Tasik Kenyir itu dilakukan kira-kira 20 tahun sebelum pembinaan empangan Stesen Hidro Elektrik Sultan Mahmud di Kampung Jenagor, Kuala Berang.
Pada masa sekarang, bekas kampung yang bertukar menjadi tasik itu masih boleh dilihat berpandukan beberapa batang sungai yang masih mengekalkan nama asalnya.
Di tengah-tengah tadahan air seluas 370 kilometer persegi itu pula tersusun 340 buah pulau yang dahulunya adalah puncak-puncak gunung dan bukit tertinggi di situ.
Untuk rekod, empangan Kenyir yang dibina pada 1978 dan mula beroperasi pada 1985 itu adalah empangan hidro-elektrik terbesar di Asia Tenggara.
Ketika pembinaannya lebih 30 tahun lalu, stesen hidro-elektrik itu menjadi simbol kejuruteraan terhebat yang pernah dibangunkan di negara ini.