• 19 Sept 2024 | 15 Rabiul Awal 1446

Klinik Pakar Hospital Dungun Mula Operasi 22 September

Oleh : Che Wan Muhammad Abdul Hanis

Dungun, 18 September – Orang ramai di daerah ini tidak lagi perlu bersesak bagi mendapatkan perkhidmatan kesihatan apabila Klinik Pakar Hospital Dungun akan mula beroperasi di dua fasiliti kesihatan mulai 22 September depan.

Menurut jurucakap Hospital Dungun, Klinik Pembedahan Am (SOPD), Klinik Pembedahan Pediatrik, Klinik Neurosurgikal, Klinik Pembedahan Plastik, Klinik Ortopedik (ORTHO), Klinik Foot & Ankle, Klinik Sport serta Klinik Spine akan beroperasi di Hospital Dungun baharu.

“Termasuk Klinik Obstetrik & Ginekologi, Klinik Oftalmologi, Klinik Telinga, Hidung & Tekak (ENT), Klinik Pediatrik, Klinik Hematologi (Pediatrik), Klinik Neurologi (Pediatrik) dan Klinik Rehabilitasi.

“Manakala Hospital Dungun lama pula menempatkan Klinik Perubatan Am (MOPD), Klinik Nefrologi, Klinik Endokrinologi, Klinik Gasteroenterologi, Klinik Dada/ Respiratori, Klinik Psikiatri, Klinik Psikogeriatrik, Klinik Methadone, Perkhidmatan Rawatan Harian (Daycare), Klinik Warfarin (INR) serta Klinik Berhenti Merokok,” ujarnya.

Jurucakap tersebut turut memaklumkan, Perkhidmatan Unit Rekod Perubatan akan beroperasi di Aras 2, Hospital Dungun baharu mulai hari yang sama.

“Pelanggan diminta hadir ke Unit Rekod Perubatan Hospital Dungun baharu bagi tujuan permohonan atau mengambil Laporan Perubatan yang telah siap,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata, fasiliti kesihatan ini merupakan langkah penting ke arah pembangunan infrastruktur kesihatan di kawasan Dungun.

“Saya akan berusaha memastikan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat di sini. Penduduk di Dungun kini boleh menikmati kemudahan yang lebih lengkap dan profesional dalam sektor kesihatan.

“Dengan adanya Hospital Dungun baharu, penduduk di sini akan mendapat rawatan kesihatan yang berkualiti tanpa perlu keluar daerah serta memendekkan masa menunggu untuk mendapatkan rawatan pakar,” ujarnya.