SHMMP KRISMAS: 176 Anggota KPDN Terengganu Ditugaskan Pantau Harga
KUALA NERUS, 15 September- Seramai 272 atlet daripada 12 pasukan hadir ke Terengganu bagi menyertai Kejohanan Olahraga Bakat dan Pelapis Negeri 2024 yang bermula sejak semalam.
Berlangsung di Stadium Tengku Muhammad Ismail di sini, kejohanan berkenaan mempertandingkan 16 acara olahraga lelaki dan wanita seperti acara rejam lembing, lompat jauh, lompat tinggi dan lontar peluru.
Menurut Ketua Unit Pembangunan dan Bakat Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Mohd Hilmi Haris, kejohanan yang julung kali diadakan itu mendapat sambutan dari bakat dan pelapis tanah air apabila hampir semua negeri mengambil bahagian.
"Dari segi sambutan, boleh dikatakan seluruh negeri datang kecuali Sabah dan Sarawak yang mungkin berdepan kekangan kos yang tinggi untuk datang, tetapi negeri-negeri di semenanjung semua hadir dengan penyertaan atlet bawah 17 tahun.
"Negeri Terengganu sebagai tuan rumah pula menampilkan penyertaan paling ramai dengan 49 orang atlet untuk semua acara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sewaktu hadir ke kejohanan tersebut, semalam.
Tambahnya, penganjuran itu merupakan penghargaan kepada MSNT sebagai pengelola kejohanan anjuran Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Persatuan Olahraga Amatur Terengganu (POAT) yang bertujuan mencungkil bakat di peringkat kebangsaan.
"Kalau diikutkan kejohanan bakat (peringkat pelapis), kejohanan secara 'single event' ini kali pertama diadakan, jadi kita boleh tengok bakat-bakat sebenar para atlet dan kemampuan mereka kerana lebih terfokus pada satu-satu acara kerana dari sini kita akan tingkatkan kembali potensi mereka pada masa akan datang.
"Kita tidak meletakkan jangkaan terlalu tinggi kerana dari segi keputusan dan hasil ia nombor dua, yang utamanya dari sudut pendedahan atlet untuk bersedia ke arah SUKMA dan kejohanan peringkat tinggi yang lain.
"Tambahan pula pada Oktober nanti, prestasi atlet-atlet ini akan memuncak ketika Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM), jadi kejohanan ini dilihat sebagai pendedahan awal untuk mengekalkan prestasi mereka," ujarnya.