Berita :
TER Edar 300 Bubur Lambuk, Erat Silaturahim Ramadan
TER Edar 300 Bubur Lambuk, Erat Silaturahim Ramadan
Mastura Jamal Din
1 jam yang lepas
89

KUALA TERENGGANU, 6hb Mac- Aroma bubur lambuk yang dimasak secara gotong-royong menyemarakkan suasana Ramadan di Terengganu Equestrian Resort (TER) apabila lebih 300 bekas juadah tradisi itu disediakan dalam program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), semalam.

Program yang berlangsung penuh semangat kebersamaan itu disempurnakan oleh Pengerusi Yayasan Kebajikan Perkasa Alam, Tengku Seri Bijaya Raja, dengan penyertaan barisan pengurusan serta ahli Kelab Sukan dan Kebajikan TER yang bersama-sama berganding bahu menyediakan hidangan berkenaan.

Tengku Seri Bijaya Raja berkata, penganjuran program berkenaan bukan sekadar aktiviti memasak, sebaliknya menjadi platform mengeratkan hubungan serta menyemarakkan semangat berkongsi rezeki sepanjang bulan mulia ini.

“Ramadan adalah bulan untuk berkongsi dan mengeratkan silaturahim.

" Program seperti ini bukan sahaja menyatukan warga kerja dan rakan strategik, malah memperlihatkan komitmen TER sebagai organisasi yang prihatin terhadap komuniti,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar TER, Ahmad Fathil Abd Ghani berkata, bagi menambahkan lagi kemeriahan Ramadan tahun ini, pihaknya memperkenalkan program baharu TERcolek Moreh @ Paddock Cafe yang menawarkan lebih 13 jenis lauk colek bermula serendah RM10 bagi lima jenis pilihan.

Menurutnya, bagi hidangan berbuka puasa pula, pengunjung boleh menikmati set menu bermula RM39 untuk dua orang sehingga RM120 untuk empat orang selain pakej bufet iftar di Club House pada harga RM55 seorang.

“Pengunjung boleh menikmati hidangan berbuka dan moreh dalam suasana santai, unik serta eksklusif di resort ini,” katanya.

Dalam masa sama, TER turut menganjurkan TERmoreh Raya 2026 bermula 21 Februari hingga 18 Mac ini yang menghimpunkan lebih 100 vendor melibatkan pelbagai kategori termasuk makanan, minuman, pakaian serta produk perayaan.

Menurut Ahmad Fathil, inisiatif itu bukan sahaja memeriahkan suasana Ramadan di TER, malah membantu merancakkan ekonomi usahawan tempatan.

“Melalui program ini, TER bukan sahaja menjadi destinasi santai berbuka puasa, tetapi juga hab komuniti yang merancakkan aktiviti sepanjang Ramadan,” katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan