KMI-PNBC Jalin MoU Bina Hospital Baru Di Sri Petaling, KL

Pengerusi KMI, Wan Abdul Hakim dan Timbalan Presiden Kumpulan PNB, Dato' Mohd Nizam menandatangani MouU bagi pembinaan hospital baru di Sri Petaling, Kuala Lumpur sambil disaksikan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif dan Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail.

Anak syarikat TDM Berhad, Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI) yang berkecimpung dalam industri kesihatan menjalinkan kerjasama dengan sebuah syarikat milik Permodalan Nasional Berhad (PNB), PNB Commercial Sdn Bhd (PNBC) bagi menambah bilangan hospital sedia ada.

Memorandum Persefahaman (MoU) yang dilakukan antara kedua-dua syarikat tersebut hari ini adalah bagi merealisasikan hasrat pembinaan hospital baharu di sebidang tanah milik PNBC di Sri Petaling, Kuala Lumpur.

Pengerusi KMI, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar berkata, KMI  merangka satu pelan perniagaan jangka panjang yang mantap dalam usaha untuk menjadi satu pemain atau institusi utama dalam sektor perkhidmatan kesihatan di masa hadapan negara ini.

"Pada masa kini, KMI telah mempunyai empat buah hospital iaitu di Kuantan Medical Centre, Kuala Terengganu Specialist Hospital, Taman Desa Medical Centre dan Kelana Jaya Medical Centre yang mempunyai kapasiti 297 katil.

"Antara matlamat KMI ialah menambah jumlah hospital dan bilangan katil dari 297 kepada 1,000 katil dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Menandatangani MoU Antara KMI Dan PNB Commercial Sdn Bhd di Kuala Lumpur, hari ini.

Majlis itu turut disaksikan  Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar.

MoU tersebut ditandatangani oleh Pengerusi KMI, Wan Abdul Hakim Tan Sri Wan Mokhtar  dan Timbalan Presiden Kumpulan PNB, Dato' Mohd Nizam Zainordin.

Turut hadir, Pengerusi TDM Berhad, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated, Dr. Wan Ahmad Rudirman Wan Razak dan Ketua Pegawai Operasi PNB Commercial Sdn Bhd, Raja Nazirin Shah Raja Mohamad.

Tambah Wan Abdul Hakim, bentuk kerjasama itu amat baik dan berstrategik.

"Sri Petaling akan menjadi projek pertama bagi kerjasama ini. Sekiranya berjaya, model ini akan diperkembangkan di tempat-tempat lain seluruh negara di masa-masa yang akan datang.

"KMI mempunyai pengalaman yang luas dalam mengurus dan menjalankan perniagaan hospital swasta, tetapi mempunyai had dalam mendapatkan tapak-tapak yang sesuai untuk mengembangkan rangkaian hospitalnya," katanya.


Bagi kerjasama pertama tersebut, KMI dan PNBC bakal membangunkan sebuah hospital swasta yang berkapasiti 100 buah katil di atas sebidang tanah milik PNBC bersebelahan dengan Hotel Sri Petaling di Sri Petaling, Kuala Lumpur.

PNBC akan membina hospital tersebut mengikut reka bentuk dan spesifikasi yang ditetapkan oleh KMI dengan modal pelaburan hospital itu dianggarkan sekitar RM100 juta dan dijangkakan akan beroperasi sepenuhnya pada 2020.

Sementara itu, Tan Sri Abdul Wahid dalam ucapannya melahirkan rasa gembira apabila KMI telah memilih tanah milik PNBC bersebelahan Hotel Sri Petaling sebagai lokasi baharu hospitalnya.

Katanya, dengan adanya hospital tersebut, kadar penginapan Hotel Sri Petaling, yang juga dimiliki oleh PNBC, dijangka meningkat sejajar dengan peningkatan permintaan bilik penginapan daripada keluarga pesakit yang menerima rawatan di hospital tersebut.

"Apabila siap kelak, KMI bakal menjadi hospital pertama di Sri Petaling yang merupakan satu kejiranan matang dengan penduduk sekitarnya berjumlah lebih 600,000.

"Dengan kemudahan akses melalui beberapa lebuh raya utama seperti Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Jalan Jaringan Tengah 2 (MRR2), saya yakin pusat rawatan KMI ini bakal menjadi hospital tumpuan bagi penduduk di sekitar Sri Petaling," katanya.

Tag: