Komited Bantu Nasib Pengusaha Bot Penambang - Dr. Khairuddin
KUALA NERUS, 7 Disember - Masa depan industri bot penambang di Kuala Terengganu yang kini tidak menentu mendapat perhatian Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.
Mohd Khairuddin dalam satu majlis telah menyerahkan bantuan pelampung keselamatan, kewangan serta beras dan minyak masak secara bulanan kepada 15 pengusaha sektor tersebut.
Beliau turut berkata, pihaknya akan berbincang bersama Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu untuk merancang dan melaksanakan kaedah terbaik untuk meningkatkan sambutan bot penambang dengan mengadakan promosi dari semasa ke semasa.
"Sebelum ini perkhidmatan awam air mendapat sambutan pada awal tahun walaupun tambang dinaikkan RM2 sehala namun setelah wabak Covid-19 melanda sejak Mac lalu, sambutan semakin merosot.
"Di peringkat kerajaan, saya akan turut berbincang dan memberi suntikan program-program menerusi Duyong Marina Resort yang mempunyai para pelanggan yang hendak menikmati pandangan sekitar ‘Drawbridge’," ujarnya selepas Majlis Penyerahan Pelampung Keselamatan Pengusaha Bot Penambang di Jeti Penambang di Kampung Seberang Takir, baru-baru ini.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Bot Penambang Terengganu, Muhamad Ibrahim, berkata jumlah pengusaha bot penambang terus berkurangan dari sejak akhir-akhir ini.
“Dua tahun lepas, terdapat 17 pengusaha bot penambang, tetapi kini hanya tinggal 15 sahaja yang aktif. Ramai berhenti kerana tidak puas hati dengan pendapatan dan sambutan diterima," ujar beliau.
Bagi Mahmud Harun, 62, salah seorang pengusaha bot penambang di Seberang Takir, dia pernah merasai zaman kehebatan bot penambang pada satu ketika dahulu.
"Bot penambang bukan asing di Terengganu. Jika dahulu ia menjadi pengangkutan terpenting namun kini kemodenan tidak lagi memihak kepada pengusahanya.
"Akan tetapi ia sudah berubah, lebih-lebih lagi apabila tiba musim tengkujuh, pendapatan kami sebagai pengusaha bot penambang sangat merosot," katanya.