Kompleks Ibu Tunggal Di Chendering Bakal Siap Penghujung Tahun Ini

Kompleks ibu tunggal di Chendering, Kuala Terengganu bakal siap menjelang penghujung tahun ini.

Terengganu bakal memiliki sebuah kompleks aktiviti ibu tunggal yang pertama di negeri ini apabila sebuah bangunan baru bernilai RM4.4 juta dijangka siap sepenuhnya pada Disember ini.
Timbalan Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), Ramlah Idris berkata, kerajaan negeri membina sebuah pusat aktiviti yang dinamakan Kompleks Kegiatan Ibu Tunggal terletak di Chendering, Kuala Terengganu.
"Kerja-kerja pembinaanya di peringkat akhir dan dijangka siap sepenuhnya Disember nanti.

"Selain itu terdapat sebuah bilik mesyuarat, tiga buah bilik aktiviti (spa, memasak, menjahit), sebuah pejabat pengurusan persatuan, surau, perpustakaan, gimnasium, cafe, enam buah kedai usahawan berserta lima buah kiosk," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Transformasi Ibu Tunggal- Kerana Dirimu Dicakna di Bandar Permaisuri, Setiu, semalam.
Seramai 250 ibu tunggal dari Parlimen Setiu hadir pada program itu dan ianya dirasmikan oleh Ketua Wanita UMNO Bahagian Setiu, Wan Nasiah Wan Abdul Majid.
Hadir memberi ceramah pada program itu ialah Pakar Motivasi Dr. Robiah K. Hamzah.
Ramlah berkata, antara kemudahan yang disediakan di kompleks itu seperti sebuah dewan utama yang memuatkan sehingga 250 peserta.
Beliau berkata, kompleks itu juga dapat memberi kemudahan dan keselesaan serta dapat menampung lebih ramai ibu tunggal untuk menjalankan aktiviti yang memberi manfaat kepada golongan itu dan masyarakat sekitar amnya.
Dalam pada itu, Ramlah berkata, sepanjang tahun ini, beberapa program sudah dan akan dilaksanakan seperti Program Bimbingan Usahawan, Bengkel Latihan dan Kemahiran Ekonomi, Bengkel Bimbingan Perundangan serta Program Pendampingan dan Kaedah Mediasi.
"Saya berharap agar golongan ibu tunggal akan sentiasa berusaha untuk memajukan diri dan sentiasa bergerak ke hadapan bagi kelangsungan kehidupan.
Tambahnya, sehingga kini, kira-kira 27,000 orang ibu tunggal yang berdaftar di seluruh Terengganu.

Tag: