• 08 Sept 2024 | 4 Rabiul Awal 1446

Kos Ternak Madu Kelulut Rendah Mampu Jana Pendapatan

Oleh : Fatimah Din 

MARANG, 15 Julai - Memandangkan kos untuk menternak madu kelulut adalah rendah, seorang pemuda mampu menjana pendapatan sampingan sehingga menjadi usahawan muda.

Mohd Sollehuddin Mohd Hussain, 38 yang bertugas sebagai jurutera di Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC) memulakan ternakan madu kelulut ini sejak lapan tahun lepas, tetapi mengusahakannya secara serius sejak setahun yang lalu.

"Madu Kelulut ini kos penyelenggaraannya sangat rendah, sebab itulah boleh dijadikan sebagai pendapatan sampingan saya. 

"Dengan bermodalkan RM10, 000, saya membangunkan perniagaan sampingan ini dengan 20 sarang dan perangkap yang dibuat sendiri," ujarnya.

Beliau yang tinggal di Kampung Durian Guling, Binjai Rendah berkata demikian ketika ditemui wartawan Urus Setia Darul Iman (UPDI) Daerah Marang  baru - baru ini. 

Katanya, dengan berbekalkan 20 sarang pada peringkat permulaan di Binjai Rendah, beliau merancang akan membuka dalam setahun, sebuah ladang di beberapa tempat lain lagi.

"Saya pasarkan madu kelulut ini di media sosial iaitu 'facebook' dan juga kepada kenalan rapat ," katanya. 

Beliau yang banyak menimba ilmu berkenaan menerusi pembacaan dan 'kumpulan'  di media sosial yang juga mengusahakan madu kelulut.

"Bagi yang ingin memulakan perniagaan madu kelulut, bolehlah dapatkan maklumat lanjut dengan Jabatan Pertanian," jelasnya.


Tag: