• 16 Okt 2024 | 13 Rabiul Akhir 1446

KPM Kenalpasti 401 Sekolah Sebagai PPS di Seluruh Negeri

KUALA NERUS, 13 Oktober - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengenalpasti 401 sekolah yang akan dijadikan penempatan pusat pemindahan sementara (PPS) untuk masyarakat setempat bagi kesiapsiagaan menghadapi bencana banjir tidak lama lagi.

Ketua Pengarah KPM, Azman Adnan berkata, semua sekolah yang dijadikan PPS telah bersedia untuk menerima kemasukan mangsa banjir.

Menurutnya, ia susulan Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran kemungkinan banjir berlaku lebih awal berikutan Monsun Timur Laut (MTL) dijangka melanda pada minggu keempat bulan ini.

"Selain itu, 65 sekolah pula berisiko banjir dan terkepung, semua persiapan termasuk berkaitan peperiksaan yang mungkin berlangsung pada tempoh banjir telah pun diberi taklimat kepada JPN seluruh negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) peringkat negeri Terengganu 2024 di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak di sini semalam.

Tambahnya lagi, bagi sekolah-sekolah yang berisiko dilanda banjir atau terkepung (tiada laluan keluar masuk) juga telah disediakan pelan alternatif yang sesuai.

"Semua ini dirancang rapi agar proses pengajaran dan pembelajaran dapat diteruskan seperti biasa sepanjang banjir melanda kelak," katanya.

Dalam masa sama, pihaknya juga turut mengaktifkan jawatankuasa banjir di peringkat negeri-negeri bagi memperkukuhkan 
semua perancangan telah diatur rapi dalam memastikan semua warga pendidik di seluruh negara mampu berdepan bencana itu dengan lebih terurus dan baik.