KPT Beri Amaran PTPTN Tidak Aniaya Peminjam
Kementerian Pengajian Tinggi memberi amaran kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) supaya tidak menganiaya peminjam pelajaran itu.
Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh berkata, pada asasnya orang yang berhutang perlu menjelaskan hutang mereka.
"Saya telah arahkan PTPTN agar tidak menganiaya sesiapa pun (peminjam). Tidak ada seorang pun akan dianiaya. Kalau ada yang dianiya oleh PTPTN, jumpa saya, Insya-Allah saya akan bantu secara personal.
"Namun, peminjam perlu berjumpa dengan PTPTN terlebih dahulu untuk penstrukturan semula mengikut kemampuan (masing-masing). Janji saya peminjam tidak akan dianiaya selepas berjumpa PTPTN," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas berhubung kira-kira 1.3 juta peminjam PTPTN akan disenaraikan di bawah Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS), yang akan memberi kesan kepada penarafan kredit jika mereka gagal membayar pinjaman pelajaran pada masa yang ditetapkan selepas menyempurnakan perasmian The 18th International Conference for University Administrators 2016 di Hotel Primula, Kuala Terengganu, hari ini.
Turut hadir, Naib Canselor Universiti Teknologi Mara, Prof. Emeritus Dato’ Dr Hassan Said.
Beliau menegaskan, sudah menjadi tanggungjawab orang yang berhutang agar membayar balik pinjaman mereka.
"Namun ada perkembangan positif. Jika sebelum ini kutipan balik secara bulanan yang diperoleh PTPTN antara RM70 juta hingga RM80 juta tetapi sekarang meningkat kepada lebih RM200 juta sebulan sejak empat hingga lima bulan kebelakangan ini menerusi beberapa pendekatan termasuk pemotongan gaji dan sebagainya.
"Berdasarkan kajian dari Bank Negara, orang yang tidak bayar bukan tidak ada duit sebab mereka ada pinjaman lain seperti pinjaman kereta, perumahan, pinjaman peribadi dan membayar secara berjadual tetapi tidak kepada PTPTN," katanya.
Menurut beliau, tindakan yang dilakukan oleh PTPTN dianggap lebih 'halus' berbanding pinjaman sepertimana bank yang lebih kasar dan akan menimbulkan kemarahan ramai peminjam.