Terengganu Salur RM4.2 Juta Baik Pulih Rumah Rosak Akibat Ribut
KUALA TERENGGANU, 8 Januari - Isu bekalan air di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera dijangka selesai menjelang hujung bulan ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini AB Rahman berkata, pihak Syarikat Air Terengganu (SATU) beriltizam menyelesaikan masalah berkenaan dalam tempoh tiga minggu bermula 2 Januari lalu.
"Hasil perbincangan dengan SATU, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ts Abdul Karim Endut menjelaskan pihaknya akan membuat saluran pirau (bypass) dari lokasi kebocoran sedalam 10 meter di dasar sungai ke atas jambatan melibatkan sambungan sejauh 720 meter.
"Jadi, ia dijangka selesai sekitar 23 Januari dan kita berharap usaha dilakukan berjalan lancar dan menepati jangka masa ditetapkan kerana ia akan mencecah sebulan jika berganjak lagi," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau itu memaklumkan, sejak krisis bermula pada 28 Disember lalu, beberapa tindakan segera telah dilakukan bagi membekalkan air bersih kepada penduduk terlibat.
"Sebaik sahaja kedua-dua tangki (Tangki SATU Kampung Raja dan Loji Air Bukit Bunga) ditutup, pihak DUN memanggil pegawai SATU memberi taklimat dan pihaknya meletakkan tangki-tangki statik di lokasi terpilih.
"SATU mendapat bantuan segera daripada Setiu dan Kuala Terengganu dengan kekuatan enam lori tangki bagi mengisi tangki-tangki statik yang ada. Di pihak DUN, sukarelawan kami telah berusaha mengambil air dari loji SATU dan bergerak dengan tiga buah lori dan lima buah kenderaan pacuan empat roda pada awalnya.
"Pada 2 Januari, pihak DUN berjaya mendapatkan bantuan Bomba dan Penyelamat (BOMBA) yang menyediakan dua lori tangki berkapasiti 20,000 liter serta satu lori tangki daripada ADUN Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim untuk beroperasi sehingga hari ini," ujarnya.
Beliau memaklumkan, pihak DUN turut mendapat kerjasama NGO Khidmat Malaysia Terengganu dan Jabatan Amal Malaysia dengan membuka pusat operasi di Dataran Limbungan sepanjang tempoh krisis bekalan air yang beroperasi sehingga jam lima pagi.
Untuk makluman, krisis bekalan air Kota Putera bermula apabila berlaku kebocoran paip pada kedalaman 12 meter di dasar Sungai Besut berlokasi di Jambatan Lampu. Ia disedari berikutan berlakunya tekanan rendah pada 23 Disember.
Dalam tempoh penyiasatan pihak SATU, kebocoran semakin parah menyebabkan dua tangki terpaksa ditutup pada 28 Disember.
Masalah bekalan air melibatkan kawasan Kampung Raja dan Keluang dengan sebanyak 2,570 pengguna melibatkan 10 buah kampung terjejas sepanjang krisis berlaku, tetapi tangki Kampung Raja dapat diselamatkan kerana sebahagiannya sempat disalurkan kepada tangki berdekatan.