lightning-solid
Berita :
Krisis Sosial Pelajar: ADUN Rantau Abang Cadang Pelan Tindakan
Krisis Sosial Pelajar: ADUN Rantau Abang Cadang Pelan Tindakan
Zahid Mustafar
11 Nov 25
331

KUALA TERENGGANU, 11 November – Krisis sosial yang semakin menular dalam kalangan pelajar perlu ditangani dengan pendekatan berasaskan Islam agar generasi muda tidak terus hanyut dalam arus keruntuhan akhlak.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli, isu pendidikan dan pembangunan modal insan kini menjadi kebimbangan besar rakyat kerana gejala negatif dalam sistem pendidikan semakin parah.

"Antara kebimbangan besar rakyat hari ini ialah krisis sistem pendidikan negara, kes buli yang semakin melampau, cubaan menculik, gangguan seksual, ketagihan gajet serta tekanan mental dalam kalangan pelajar.

"Masalah ini bukan semata-mata isu disiplin sekolah tetapi cerminan kepada krisis nilai dan akhlak yang sedang melanda generasi muda masa kini," katanya ketika membahaskan Enakmen Perbekalan 2026 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini.

Beliau menegaskan, isu ini menuntut perhatian serius bukan hanya daripada Kementerian Pendidikan tetapi juga semua lapisan masyarakat dan institusi agama.

"Ia menuntut perhatian yang serius daripada semua pihak, bukan sahaja Kementerian Pendidikan, tetapi juga kerajaan negeri, masyarakat dan institusi agama.

“Sebagai negeri yang menjadikan Islam sebagai dasar pentadbiran, saya berpandangan Terengganu wajar tampil dengan pendekatan sokongan dan cadangan yang berpaksikan penyelesaian Islam," katanya.

Jelas beliau, pendekatan berasaskan Islam ini berlandaskan firman Allah SWT yang bermaksud, "Wahai orang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada azab api neraka."

"Berdasarkan panduan ini, saya mencadangkan agar kerajaan negeri melalui agensi berkaitan seperti Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, MAIDAM dan Yayasan Terengganu mengambil langkah pelengkap kepada dasar pendidikan nasional.

"Langkah-langkah ini perlu digerakkan bagi memelihara akhlak dan moral anak-anak kita daripada terus rosak akibat pengaruh luar," tegasnya.

Beliau turut mencadangkan empat langkah utama bagi memperkukuh pelan tindakan pendidikan Islam di Terengganu.

"Pertama, menjana kerjasama strategik dengan Kementerian Pendidikan dalam memperluas program pendidikan berasaskan maqasid syariah melalui aktiviti kokurikulum, program motivasi dan pembangunan sahsiah pelajar.

"Kedua, menjadikan sekolah dan institusi tahfiz di bawah seliaan negeri sebagai model sekolah tarbiah Islam yang menekankan aspek akademik, akhlak, adab dan kepimpinan," katanya.

Tambah beliau, guru agama juga perlu diberikan latihan dan pengiktirafan khas agar mereka mampu menjadi pembimbing masyarakat yang berperanan lebih luas di luar bilik darjah.

"Ketiga, memberi latihan dan pengiktirafan khas kepada guru agama dan asatizah sekolah negeri supaya mereka berperanan sebagai murabbi komuniti yang membimbing masyarakat setempat.

"Keempat, mengaktifkan kerjasama antara masjid, PIBG dan JPKK bagi membentuk zon selamat pelajar serta kawasan komuniti yang menjaga keselamatan dan moral anak-anak di luar waktu sekolah," katanya.

Mohd Fadhli menegaskan bahawa langkah-langkah itu tidak bercanggah dengan bidang kuasa kerajaan persekutuan, sebaliknya melengkapkan usaha kementerian dengan roh Islam dan keprihatinan tempatan.

"Langkah-langkah ini tidak bercanggah dengan bidang kuasa kerajaan persekutuan, malah melengkapkan usaha kementerian dengan roh Islam dan keprihatinan setempat.

"Saya yakin dengan sokongan padu semua pihak, Terengganu boleh menjadi negeri contoh dalam membangunkan sistem pendidikan berjiwa Islam dan berpaksikan kesejahteraan ummah," ujarnya.


Artikel Berkaitan