Berita :
Majikan Digesa Buat Caruman Penuh, Elak Waris Terlepas Pencen Penakat PERKESO
Majikan Digesa Buat Caruman Penuh, Elak Waris Terlepas Pencen Penakat PERKESO
Ahmad Zaeem Zainudin
1 hari yang lepas
72

HULU TERENGGANU, 30 April - Majikan diingatkan supaya memastikan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dibuat secara penuh dan konsisten bagi menjamin kebajikan pekerja serta melindungi nasib waris sekiranya berlaku kematian.

Pengarah PERKESO Negeri Terengganu, Farihah Che Hussin berkata, kes melibatkan Allahyarham Muhammad Syukri Bazli baru-baru ini membuktikan kepentingan caruman yang konsisten apabila warisnya layak menerima pencen penakat hasil sumbangan majikan.

Menurutnya, rekod caruman yang mencukupi membolehkan balu arwah, Nurul Hanis Amelia Ramli bersama tiga anak mereka menerima pencen penakat sebanyak RM1,004.97 setiap bulan.

"Caruman ini nampak kecil ketika pekerja masih hidup, namun impaknya sangat besar kepada waris apabila berlaku kematian.

"Sekiranya caruman tidak mencukupi walaupun kurang satu bulan, waris mungkin tidak layak menerima faedah yang sepatutnya," katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam program Ziarah Prihatin di Ajil, hari ini.

Beliau menegaskan, majikan mempunyai tanggungjawab untuk memastikan caruman dibuat secara konsisten bagi mengelakkan waris pekerja terlepas perlindungan sosial yang sewajarnya.

"Dalam kes ini, kita hargai majikan yang telah mencarum kerana ia memberi jaminan kewangan kepada keluarga arwah yang kini kehilangan punca pendapatan," ujarnya.

Menurutnya, terdapat dua syarat utama bagi melayakkan waris menerima faedah tersebut iaitu kematian pencarum berlaku sebelum umur 60 tahun serta mempunyai caruman yang mencukupi mengikut kelayakan ditetapkan PERKESO.

Ulasnya, kegagalan memenuhi mana-mana syarat berkenaan boleh menyebabkan waris tidak menikmati perlindungan yang sepatutnya, sekali gus menjejaskan kebajikan keluarga ditinggalkan.

Dalam masa sama, katanya lagi, peranan komuniti dan media amat penting sebagai perantara bagi menyalurkan maklumat kepada waris yang mungkin tidak menyedari kelayakan mereka.

Oleh yang demikian, Farihah menekankan kepentingan peranan komuniti dan media untuk membantu menyampaikan maklumat berkaitan faedah PERKESO kepada masyarakat.

"Sebab itu kita jemput juga pihak pertubuhan, JPKK dan rakan media supaya mereka boleh menguar-uarkan juga jika ada kematian, ada lawatan kematian di dikalangan ahli masyarakat, tuan-tuan dan puan-puan bolehlah berkongsi maklumat tu bagi pihak PERKESO. 

"Tidak perlu hadir pun (ke pejabat PERKESO) kerana pegawai sinergi di PERKESO Negeri Terengganu sedia membantu," katanya.


Ketupat

Artikel Berkaitan