Jalur Gemilang
Berita :
Ku-Haraki Bakal Diperluas Ke Seluruh Negara
Ku-Haraki Bakal Diperluas Ke Seluruh Negara
Rohayati Ripin
01 Oct 26
84

KUALA TERENGGANU, 1 Oktober – Program Kelab Usahawan Haraki Malaysia (Ku-Haraki) bakal diperluas ke seluruh negara secara berperingkat selepas mendapat sambutan menggalakkan daripada usahawan pelbagai negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato' Ariffin Deraman berkata, peluasan program itu tidak lagi terhad kepada negeri dalam kelompok SG4, sebaliknya akan melibatkan negeri-negeri lain pada masa akan datang.

Katanya, program Ku- Haraki dijangka dianjurkan di Kedah pada Januari tahun depan, manakala Kelantan pula dirancang selepas sambutan Aidilfitri.

“Insya-Allah, saya difahamkan pihak urus setia baru bermula di Terengganu dan telah bersetuju untuk mengadakan program ini pada Januari tahun depan dan Kelantan juga bersetuju selepas raya.

“Bukan sahaja kita fokus kepada negeri SG4, selepas ini mungkin Perlis dan insya-Allah akan pergi ke negeri-negeri lain,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media dalam sidang media selepas merasmikan Haraki Fest 2026 di Kompleks Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Kuala Terengganu, hari ini.

Menurutnya, penyertaan usahawan dari luar Terengganu pada program berkenaan menunjukkan Ku Haraki mempunyai potensi untuk berkembang sebagai jaringan kerjasama keusahawanan yang lebih luas.

“Yang penting sekali adalah untuk kebaikan usahawan negeri Terengganu, bahkan di seluruh negara, termasuk SG4,” ujarnya.

Dalam pada itu, peruntukan bagi pelaksanaan program Jelajah Usahawan Terengganu akan ditambah bagi memperluas peluang promosi dan pasaran kepada lebih ramai usahawan tempatan.

Katanya, sebelum ini telah meminta Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) memperbanyakkan penganjuran program berkenaan di pelbagai lokasi.

Menurutnya, beliau turut menerima berita bahawa peruntukan tahunan bagi pelaksanaan showcase dan Jelajah Usahawan Terengganu akan ditambah dengan jumlah yang lebih besar.

“Saya dah minta bajet tahunan diperuntukkan lebih besar dan saya dapat berita gembira, ada sejumlah yang sekali ganda kita dapat untuk bajet kita mengadakan showcase ataupun Jelajah Usahawan Terengganu,” jelasnya.

Ariffin menambah, langkah berkenaan penting bagi membolehkan lebih ramai usahawan Terengganu dibawa menyertai program promosi di luar negeri sekali gus membuka ruang pasaran baharu.

Katanya, menerusi program terbaharu di Kedah, sekitar 30 usahawan Terengganu telah dibawa menyertai showcase berkenaan selain turut memberi ruang kepada usahawan tempatan di negeri itu.

“Di Kedah baru-baru ini lebih kurang 30 usahawan kita, di samping ada beberapa usahawan daripada Kedah sendiri dan mendapat sambutan yang sangat baik,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata kerjasama dengan Ku-Haraki turut akan diteroka bagi memperluas lagi pelaksanaan Jelajah Usahawan, khususnya dalam menghubungkan usahawan Terengganu dengan jaringan perniagaan di negeri lain.

Sementara itu, Pengarah Ku-Haraki Negeri Terengganu, Nuhairi Hutaimin berkata, pengumpulan usahawan Haraki dari seluruh negara menerusi Haraki Fest 2026 membuka ruang kepada mereka membina jaringan perniagaan serta memperluaskan pasaran produk.

Tambahnya, platform itu turut memberi peluang kepada usahawan melakukan padanan produk dan memperkenalkan produk dari negeri masing-masing kepada rangkaian usahawan di negeri lain.

“Antara objektif kita adalah untuk mengumpulkan semua usahawan Haraki seluruh negara berkumpul di YPU Terengganu ini bagi menjalinkan hubungan sesama mereka dan juga melakukan padanan antara produk masing-masing.

“Tujuannya adalah untuk mempromosikan produk di negeri masing-masing kepada negeri yang lain supaya mereka dapat bertukar-tukar dan memperluaskan pasaran produk masing-masing,” katanya.





Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan