• 25 Okt 2024 | 22 Rabiul Akhir 1446

Kuala Berang Tetap Bergemerlapan Cahaya Pelita Walau Kos Minyak Tanah Meningkat



Walaupun berdepan dengan kekangan harga bahan bakar yang tinggi, ini tidak mematahkan semangat Orang Kuala Berang(OKB)mengadakan pertandingan Gemerlipan Pelita Raya buat kali pertama.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Kuala Berang, Dato' Tengku Putera Tengku Awang berkata, program kali pertama yang diadakan ini mendapat sambutan hangat daripada semua pihak termasuk jabatan-jabatan kerajaan walaupun harga minyak tanah mencecah RM4 seliter di pasaran.

Jelasnya lagi, beliau lebih yakin untuk menyertai pertandingan pelita raya anjuran kerajaan negeri pada tahun hadapan kerana mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Pengerusi  Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K) dan penduduk sekitar.

"Dan saya juga ingin memohon kepada kerajaan negeri mempertimbangkan untuk bantu dari segi bahan bakar kepada semua DUN di Terengganu sebagai galakan penyertaan bersama dengan semangat kesatuan dan perpaduan orang kampung.

"Hanya sediakan minyak dan keperluan lain kita di DUN akan sediakan melalui peruntukkan J3K sepertimana Kuala Berang telah lakukan.

"Kejayaan tidak akan berlaku tanpa kerjasama semua pihak dan tidak mustahil kita akan lihat seluruh daerah akan bergemerlapan dari Besut hingga Kemaman,"kata Tengku Putera.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau penghakiman Gemerlipan Pelita Raya OKB di Kampung Getang,Kuala Berang semalam.



Tambah Tengku Putera lagi, penganjuran pelita raya di Kuala Berang tetap meriah dan harga bahan bakar yang mahal tidak menghalang orang kampung menghiasi perkarangan rumah dan jalan raya dengan cahaya pelita.

"Kita sudah memperuntukkan sebanyak RM 2,000 setiap penyertaan dan perbelanjaan selebihnya diatas kreativiti mereka.Hampir RM140 ribu telah dibelanjakan termasuk hadiah sebanyak RM 38,400 bagi program kali ini.

"Inilah yang memberi rangsangan, satu semangat jitu bila persiapan awal kita bantu dengan sedikit peruntukan dan J3K telah buat persiapan lebih dari sepatutnya dengan tabungan masing-masing termasuk sumbangan peribadi.

"Di sini saya nampak salah satu matlamat utama penganjuran tercapai iaitu melahirkan pemuafakatan antara satu sama lain di kampung yang terlibat tanpa mengira fahaman parti politik di samping menghidupkan kembali tradisi memasang pelita setiap kali menjelang Ramadan dan Aidilfitri,"ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi J3K Kampung Getang,Tuan Abd Razif Tuan Ngah berkata, persiapan rapi telah dibuat sejak awal lagi dengan tambahan peruntukan daripada badan korporat, kontraktor dan sumbangan peribadi.

"Kami sudah buat persiapan sejak malam 12 Jun lalu sehingga sekarang tanpa henti dengan dibantu oleh penduduk kampung tanpa mengira umur.

"Mereka beri kerjasama yang cukup hebat dan saya merasa cukup bangga kerana mempunyai anak buah yang 'sporting' dan ada yang sanggup bersahur di tapak pemasangan pelita,"katanya lagi.

Menurut Tuan Abd Razif, setakat ini sebanyak RM7,500 telah dibelanjakan dan hasilnya cukup memuaskan hatinya sebagai Pengerusi J3K malah berjaya menghidupkan suasana raya di Kampung Getang.

Tag: