KUALA TERENGGANU, 16 Ogos - DUN Langkap sebelum daripada ini merupakan kubu kuat Umno kini menjadi milik PAS apabila menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) DUN Terengganu ke-15 pada 12 Ogos baru ini.
Calon PAS/ PN DUN Langkap yang menang dalam PRN 12 Ogos, Azmi Maarof berkata, antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan undi PAS adalah orang Umno meluat dengan pimpinan mereka.
“seorang pemimpin perlu bercakap jujur kepada rakyat tetapi ahli dan penyokong Umno peringkat bawah ada yang tak terima pemimpin tertinggi Umno.
“tindakan kerjasama Umno dan DAP menyebabkan para pengundi mengalih sokongan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) DUN Terengganu ke-15 Sabtu lalu,” jelasnya ketika dihubungi pada hari ini.
Katanya, beliau berjanji akan menyelesaikan masalah rakyat di DUN ini yang belum selesai antaranya adalah berkenaan dengan permohonan tanah haram masih banyak belum selesai.
"Buka rancangan tanah berkelompok tapak rumah dan pertanian serta menyelesai rumah mampu milik (RMM) untuk generasi ke 2 Felda Chalok Barat.
"Bina Rumah Mampu Milik (RMM) tapak yang telah kenal pasti untuk warga Langkap dan membina sebuah sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) DUN Langkap," ujarnya.
Menurutnya, kebajikan rakyat DUN Langkap sentiasa terjaga, semenjak tahun 2018 selepas PAS memerintah negeri Terengganu, antara faktor yang menyumbang kepada kemenangan.
“Selama lima tahun PAS memerintah kita bergerak aktif dan cakna serta kebajikan rakyat diutamakan,"katanya.
Beliau akan menjaga kebajikan rakyat miskin dan membantu para penjaga kecil di kawasan ini.
Justeru itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada para pengundi yang mengundi parti PAS sehingga mendapat kemenangan besar pada kali ini.
"Ini adalah satu amanah besar dari parti dan pengundi DUN Langkap dan insya Allah akan pikul amanah ini sebaik mungkin.
"Mohon kerjasama semua pihak dan saya sedia terima teguran sekiranya ada perkara yang salah," tambah Azmi.
Beliau turut mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada jentera parti di semua peringkat yang bertungkus- lumus bertugas sepanjang kempen pilihan raya ini.
Keputusan rasmi yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi DUN Langkap, PAS memperoleh 9,553 menewaskan pencabarnya calon BN yang mendapat 6,819 undi.