Kucar Sure Meriahkan DUN Air Putih

KEMAMAN, 19 September - Bersempena dengan ketibaan bulan Muharam, bulan pertama di dalam kalendar Hijriah Islam, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kawasan DUN Air Putih telah sepakat mengadakan program gotong-royong ‘Kucar Sure’ baru-baru ini.

Program gotong-royong bubur asyura atau lebih dikenali sebagai 'bubur sure' di kalangan masyarakat negeri Terengganu ini telah diadakan serentak di beberapa buah kampung di sekitar DUN Air Putih. Antara MPKK yang terlibat adalah MPKK Mak Chili, MPKK Kampung Batu 4 Binjai, MPKK Pengkalan Binjai, MPKK Jenang Baharu, MPKK Batu 14/ Kuala Tayor, MPKK Felda Seberang Tayor dan gabungan MPKK-MPKK Neram.

Seawal jam 7.30 pagi, para peserta gotong-royong kucar sure telah pun begitu lincah menyiapkan bahan-bahan untuk memasak bubur asyura ini.  Antara bahan-bahan yang wajib ada bagi bubur asyura versi negeri Terengganu ini adalah kerisik, beras, ikan selayang, daging, ubi keledek dan gula kerek. Setiap kampung menyediakan sebanyak empat buah kawah bubur asyura untuk diagihkan kepada para penduduk setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Air Putih, Ab Razak Ibrahim dan isteri turut meluangkan masa melawat tapak gotong-royong.

Beliau yang tidak melepaskan peluang mengacau bubur sure bersama penduduk kampung berkata, 10 Muharram adalah Hari Asyura. Antara tradisi masyarakat Melayu turun temurun apabila tiba tarikh ini, ia disambut dengan membuat dan mengadakan jamuan bubur asyura.

Beliau turut berpuas hati melihat kerjasama antara peserta gotong-royong.

"Program seumpama ini bukan sahaja dapat mengeratkan silaturrahim di kalangan peserta gotong-royong, malah ianya juga dapat merapatkan jurang antara barisan MPKK bersama penduduk setempat,” ujar beliau lagi.

Sekitar jam 1.00 tengah hari, bubur asyura selamat diagihkan kepada para penduduk kampung. Ucapan tahniah dan ribuan terima kasih ditujukan kepada MPKK dan semua yang telah bertungkus lumus menjayakan program gotong-royong ‘Kucar Sure’ ini. Semoga ianya dapat dijadikan program tahunan bagi setiap MPKK di kawasan DUN Air Putih.


Tag: