Kursus Jahitan Buka Peluang Suri Rumah Jana Pendapatan


Oleh: Nooreni Abu Bakar

DUNGUN, 4 Julai- Seramai 56 peserta yang mengikuti Kursus Jahitan Komuniti anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) cawangan Dungun berjaya menamatkan kursus selama enam bulan dalam bidang tersebut.

Pegawai YPKT Cawangan Dungun, Farrah Noor Faradhila M. Zuki berkata, peserta diharap dapat menggunakan sebaiknya ilmu jahitan yang dipelajari termasuk berupaya membuka perniagaan dalam bidang tersebut suatu hari nanti.

Menurut beliau, sebelum ini Kelas Jahitan Komuniti beroperasi di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN), tetapi terpaksa dihentikan memandangkan tiada tempat yang sesuai di Paka dan Bukit Besi.

"YPKT melihat kesesuaian tempat dari segi keselamatan dan permintaan penduduk setempat, jika tidak menepati syarat ditetapkan, kita akan cari tempat lain.

“Kursus yang dianjurkan ini diharap dapat membantu lebih ramai wanita khususnya yang ingin menjadikan kemahiran menjahit sebagai sumber rezeki,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Sijil Asas Jahitan YPKT sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri YPKT Dungun yang disempurnakan Timbalan Pengerusi Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu, Alias Harun di Dewan Perpustakaan Awam Dungun, baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Pengurusan YPKT, Kamarulzaman Awang.


Sementara itu, seorang peserta Norhabshah Baharom, 33, yang menyertai kursus jahitan asas itu gembira kerana dapat menamatkan kursus yang bermula Januari lalu itu dengan mempelajari pelbagai teknik menjahit.

Norhabshah bersama tiga sahabatnya Syarul Akma Khozai,32, Fairus Hanim Awang, 29, dan Rozana Mohd Rasid, 29 yang telah lama memendam hasrat untuk belajar menjahit akhirnya berjaya memiliki Sijil Asas Jahitan YPKT selepas mengikuti Kelas Jahitan Komuniti DUN Paka.

"Terima kasih kepada YPKT Cawangan Dungun, setelah sekian lama menanti akhirnya  Kursus Jahitan Komuniti diadakan berhampiran tempat tinggal kami.

"Sebelum ini kelas jahitan hanya diadakan di YPK bandar Dungun, memanglah jauh kami hendak ikut serta memandang kami ada anak kecil dan ada yang bekerja.

"Bila kami mendapat tahu ianya telah dibuka di Paka, cepat-cepat kami daftar. Dengan hanya pendaftaran RM 150, dan bulanan sebanyak RM10, memang murah dan berbaloi, sebab kami tidak tahu langsung tentang menjahit," celah rakannya Fairus Hanim.

Sementara itu, seorang pelatih daripada Kelas Jahitan Komuniti DUN Rantau Abang, Puteri Sofiah Muhammad Ansari, 20, memberitahu, memandangkan yuran pendaftaran dan bulanan yang tidak membebankan menyebabkan dia yang meminati bidang jahitan turut mengambil kesempatan mengikuti kelas tersebut.

"Saya sedang tunggu panggilan daripada UPU untuk melanjutkan pelajaran, jadi sebagai mengisi masa, saya ambil kelas ini, nanti boleh juga tolong ibu menjahit," ujar pelajar lepasan Sijil Tinggi Agama Malaysia(STAM) itu.

Tag: