lightning-solid
Berita :
Lagenda Bola Sepak Terengganu, Zulharisam Awang Meninggal Dunia
Lagenda Bola Sepak Terengganu, Zulharisam Awang Meninggal Dunia
Rohayati Ripin
1 hari yang lepas
189

KUALA TERENGGANU, 5 Februari – Dunia bola sepak Terengganu kehilangan seorang legenda apabila bekas kapten pasukan negeri, Zulharisam Awang, 51, meninggal dunia lewat petang tadi akibat kanser hati.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ucapan takziah dizahirkan kepada seluruh ahli keluarga Almarhum atas pemergian tokoh sukan yang banyak berjasa kepada negeri itu.

"Takziah diucapkan kepada seluruh ahli keluarga Almarhum Zulharisan Awang yang telah kembali ke rahmatullah.

"Almarhum merupakan bekas pemain bola sepak Terengganu dan pernah bersama pasukan membawa pulang Piala Malaysia pada tahun 2001 untuk negeri tercinta," jelasnya dalam media sosialnya hari ini.

Sumbangan Almarhum bukan sahaja terpahat dalam lipatan sejarah bola sepak negeri, malah terus dikenang sebagai simbol semangat juang dan kepimpinan di atas padang.

"Semoga roh beliau ditempatkan bersama para solihin serta diberi ganjaran atas segala bakti yang dicurahkan sepanjang hayat," ujar beliau.

Zulharisam yang berasal dari Batu Enam merupakan tonggak pertahanan kental Terengganu sejak era 1990-an dan menjadi kapten pasukan yang menjulang Piala Malaysia 2001.

Satu pencapaian bersejarah selepas menewaskan Perak 2–1 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Selain itu, beliau turut membantu Terengganu menjuarai Piala FA 2000, Kejuaraan Divisyen Dua 1998, dan Piala Sumbangsih 2001, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pemain pertahanan terbaik generasi emas negeri.

Selepas bersara sebagai pemain, Almarhum meneruskan khidmat bakti dalam arena sukan sebagai jurulatih di Pusat Sukan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan aktif melatih pasukan dalam Liga IPT serta liga-liga tempatan.

Beliau pernah bergandingan dengan beberapa nama besar bola sepak Terengganu antaranya Hairuddin Omar, Sapian Wahid, Rosdi Talib, Wan Rohaimi Wan Ismail, Subri Sulong, Marzuki Yusof, Faziallah Mamat dan Nafuzi Zain.

Pemergian Zulharisam Awang meninggalkan kesan mendalam bukan sahaja kepada keluarga dan rakan seperjuangan, malah kepada seluruh pencinta bola sepak Terengganu yang membesar dengan kejayaan pasukan negeri.



Tag :

Artikel Berkaitan