Langkah Proaktif Atasi Kes Lemas Berulang
KUALA TERENGGANU, 1 Januari - Kerajaan negeri akan mengambil langkah proaktif untuk menghalang kejadian lemas dari berulang termasuk memasang papan tanda di kawasan yang berisiko seperti laut dan sungai.
Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mohktar berkata, langkah itu perlu diambil segera berikutan cuaca dan keadaan laut dan sungai yang berbeza mengikut musim terutama ketka tengkujuh.
“Penyediaan papan tanda di tempat yang berisiko perlu sebab suasana laut dan sungai sewaktu rakan-rakan kita dari dalam dan luar Terengganu berkunjung ke laut agak berbeza mengikut waktu. Bulan Januari lain, Jun lain dan termasuk Disember ketika musim tengkujuh.
“Ini antara peringatan yang perlu di ambil serius oleh ibu bapa untuk mendengar maklumat dari penduduk tempatan lebih terdahulu sebelum mengambil apa jua tindakan untuk berada di kawasan air sama ada sungai atau laut..itu secara umumnya,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika lawatan ke Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud(SESMA)sempena hari pertama persekolahan 2019, Wakaf Tembusu, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri, Mohd Zahari Md Azahar, Pengarah Pendidikan Negeri, Shafruddin Ali Hussin dan Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman(UPDI), Ustaz Mohd Soud Said.
Dr Samsuri berkata, beliau pernah mengeluarkan kenyataan supaya ibu bapa, anak-anak, guru-guru dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung(MPKK) peka dan mengambil langkah berjaga-jaga dalam memastikan anak-anak tidak terdedah kepada aktiviti berisiko dan merbahaya kepada mereka.
“Mungkin kita rasa tidak bahaya tetapi risiko tetap ada jadi bersama-sama jaga kesihatan dan jaga keselamatan bersama-sama.
“Bukan dengan niat untuk menghalang rakyat untuk ‘enjoy’ dengan senario dan keadaan yang ada tetapi sebagai peringatan supaya langkah yang proaktif dapat diambil dari menghadapi sebarang risiko,”ujarnya.
Terdahulu, beliau mewakili kerajaan negeri mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa lemas yang melibatkan tiga beradik di pantai Teluk Lipat, Dungun, kelmarin.
“Ia merupakan satu tragedi yang kita tidak mahu dengar atau alami tapi ia tetap dan telah berlaku.
“Saya menyeru kepada keluarga mangsa terutama ibu bapa supaya sabar dengan ujian Allah Taala dan InsyaAllah sama-sama kita doakan kesejahteraan ketiga-tiga arwah agar berada dalam keampunan dan rahmat Allah,”ujarnya.
Untuk rekod, tragedi pada 6.40 petang kelmarin, ketika tiga beradik perempuan dari Kampung Pegal Pisang, Peringat, Kota Bharu bermain di tepi pantai bersama dua sepupu dengan ditemani seorang ibu saudara mereka.
Ketiga-tiga mangsa, Nurain Fatma Zawawi, Nurain Sofia Zawawi dan Nurain Salsabila Zawawi itu lemas selepas dipukul ombak besar di Pantai Sura, Dungun sebelum menariknya ke dalam laut.