Hakisan Pantai : Fokus Penyelesaian, Jangan Main Politik - Dr Sam
Lapor Segera Jika Kediaman Dinaiki Air
DUNGUN, 26 November- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun meminta penduduk di kawasan yang sering mengalami banjir segera melaporkan sekiranya kediaman mereka dinaik air agar tindakan pencegahan dapat dilakukan lebih awal.
Katanya, laporan boleh dibuat kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) terlebih dahulu.
"Bila hujan lebat dan sudah nampak tanda-tanda nak banjir, segeralah lapor kepada MPKK supaya tindakan selanjutnya dapat diambil.
"MPKK akan menghubungi Penghulu Mukim untuk memaklumkan kepada Sekretariat Bencana Daerah untuk tindakan sewajarnya, " katanya ketika dihubungi pemberita selepas meninjau Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Pulau Serai, Balai Besar dan Batu Tiong, semalam.
Alias menasihatkan, mereka yang ditempatkan di PPS sentiasa menjaga batas pergaulan, menutup aurat dan tidak meninggalkan solat lima waktu.
"Walaupun kita tidak duduk di rumah tapi solat kena buat, jangan tinggal sembahyang walaupun kita rasa payah nak sembahyang insya-Allah, Allah tolong kita kalau kita solat dan sabar," ujarnya.
Menurut laporan Bilik Gerakan Banjir DUN Rantau Abang, sehingga tengah malam semalam hanya empat PPS dengan jumlah mangsa seramai 98 orang di DUN Rantau Abang masih dibuka berbanding lima sebelum ini.
PPS Seberang Pintasan iaitu di Dewan Sivik Seberang Pintasan telah ditutup pada pukul 5.30 petang semalam.